Angkasa terus terajui pemerkasaan koperasi negara

 Abdul Fattah.
Abdul Fattah.
A
A
A

GENAP 54 tahun sejak ditubuhkan pada 12 Mei 1971, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini bukan sekadar menjadi penggerak dasar ditetapkan oleh kerajaan, namun sebagai pemudah cara untuk memperluaskan jaringan perniagaan koperasi di dalam dan luar negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa sebagai badan puncak gerakan koperasi negara mewakili lebih 16,280 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta individu.

Sehingga Disember 2024, gerakan koperasi di Malaysia mencatatkan jumlah aset RM173.3 bilion serta perolehan tahunan mencecah RM68.2 bilion menjadikan sektor koperasi negara sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Beliau yang juga merupakan Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata, seiring dengan perubahan landskap ekonomi, Angkasa telah menggerakkan Pelan Strategik Angkasa 2050 (PESAN50) sejak dilancarkan pada 2017 sebagai kompas hala tuju yang menumpukan terhadap empat tonggak utama iaitu pembangunan ekonomi, pengukuhan ekosistem, pemantapan tadbir urus dan pemerkasaan inovasi.

“Usaha ini bertujuan untuk memperkukuh daya saing koperasi tempatan dan meluaskan jaringan koperasi hingga ke peringkat global. Malah, peranan Angkasa juga diselaraskan dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang mengutamakan pembudayaan keusahawanan menyeluruh merentasi sektor ekonomi rakyat dan dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKOM2030) yang berperanan sebagai kerangka strategik dalam menetapkan hala tuju pembangunan koperasi untuk meningkatkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan sosial anggota.

“Angkasa menyediakan pelbagai program keusahawanan koperasi seperti inkubasi perniagaan dan jaringan strategik dalam sektor pelancongan, produk halal, pendigitalan serta pertanian dan perladangan sebagai persediaan koperasi untuk menjadi peneraju dalam sektor berimpak tinggi.

“Peranan Angkasa tidak hanya terbatas dalam negara. Kepercayaan yang diberi kepada Malaysia terbukti apabila negara berjaya menganjurkan beberapa program koperasi global seperti International Cooperative Alliance (ICA) Global Conference 2017 di Kuala Lumpur, Global Youth Forum 2020 di Sarawak, Asia-Pacific Cooperative Youth Summit (APCYS) 2023 di Sabah dan yang bakal berlangsung iaitu ASEAN Cooperative Dialogue (ACD 2025),” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai cabaran utama dihadapi sektor koperasi, Abdul Fattah berkata, kelangsungan perniagaan dan kekurangan modal, pengurusan sumber manusia serta penyesuaian dengan transformasi digital merupakan antara perkara yang membelenggu koperasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, persepsi masyarakat terhadap koperasi juga masih tertumpu kepada aktiviti pinjaman semata-mata, sedangkan koperasi mampu bergerak dalam pelbagai sektor strategik.

Katanya, sebagai penyelesaian kepada isu kekangan modal, Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (KOPSYA) ditubuhkan sebagai pemudah cara kewangan patuh syariah yang fleksibel, sesuai dengan keperluan perniagaan koperasi dalam sektor diceburi bagi memastikan kelangsungan operasi dan memperluas perniagaan.

“Bagi menangani cabaran digitalisasi, Angkasa bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensinya telah membangunkan Pelan Digitalisasi Koperasi yang menjadi rujukan koperasi dalam merancang hala tuju digital masing-masing.

“Projek BA100 turut diperkenalkan pada 2019 bagi pengurusan peruncitan dalam talian yang menyeluruh bagi menyokong aktiviti tersebut kepada koperasi, selain mengadakan webinar secara berkala bagi meningkatkan kefahaman koperasi untuk beralih kepada platform digital dan meningkatkan kecekapan pengurusan.

“Projek BA100 menjadi salah satu agenda kerajaan untuk membantu rakyat bagi mengatasi masalah kemiskinan selain membela nasib mereka dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” ujarnya.

Tambah Abdul Fattah, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap pemerkasaan koperasi sekolah yang bukan sekadar menjalankan aktiviti perniagaan, namun turut membentuk pelajar celik keusahawanan, pengurusan perniagaan dan kepimpinan.

“Sebanyak 40 koperasi sekolah telah mencapai perolehan RM1 juta dan satu daripadanya mencapai perolehan RM2 juta yang membuktikan potensi koperasi sebagai ruang latihan keusahawanan praktikal yang berkesan untuk generasi muda,” katanya lagi.

Perkasa koperasi ASEAN

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran ACD 2025, Abdul Fattah berkata, ia merupakan pengiktirafan besar kepada Malaysia bersempena dengan Kepengerusian ASEAN.

Menurutnya, program yang menghimpunkan pemimpin koperasi dari 10 negara ASEAN itu menjadi platform penting bagi membincangkan isu kritikal serta meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Ujarnya, ia turut menyelaras dasar, strategi dan arah tuju koperasi ASEAN agar lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan ekonomi serantau.

“Dengan gabungan lebih 300,000 koperasi dan 65.7 juta ahli di seluruh ASEAN yang mencatatkan anggaran perolehan sekitar AS$78.3 bilion, menunjukkan potensi koperasi sebagai kuasa ekonomi alternatif amat besar dan perlu digembleng secara strategik.

“Salah satu acara kemuncak ACD 2025 ialah ASEAN Cooperative Product Showcase yang akan memperkenalkan pelbagai produk dan inovasi koperasi dari negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Timor Leste.

“Showcase ini menjadi simbol penting kerjasama rentas sempadan koperasi dan membuka peluang teroka pasaran serantau yang kini mencecah lebih 600 juta penduduk.

“Terdapat keperluan untuk melihat semula polisi dan dasar kerajaan di setiap negara bagi memastikan matlamat ini dicapai,” jelas beliau.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, dalam memastikan keberkesanan resolusi ACD 2025, komuniti koperasi ASEAN mengharapkan sokongan kukuh daripada kerajaan rantau berkenaan dalam membentuk dasar mesra koperasi, fasilitasi perundangan dan insentif serta pembiayaan untuk meningkatkan daya saing koperasi kecil dan sederhana.

“Antara saranan termasuk pengiktirafan koperasi sebagai entiti ekonomi arus perdana, keutamaan penyertaan dalam projek pembangunan nasional, insentif digitalisasi serta pewujudan dana khas ASEAN bagi merangsang kapasiti koperasi,” katanya.

ACD 2025 yang dianjurkan KUSKOP dengan kerjasama Angkasa dan ASEAN Co-operative Organization (ACO) serta rakan strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), akan berlangsung pada 13 dan 14 Mei ini di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!