JPP tolak dakwaan Rafizi berkaitan aduan, bantahan pemilihan parti

JPP menegaskan bahawa segala proses berkaitan senarai pengundi bagi Pemilihan 2025 telah dijalankan secara telus dan berlandaskan peraturan sedia ada. Gambar kecil: Ahmad
JPP menegaskan bahawa segala proses berkaitan senarai pengundi bagi Pemilihan 2025 telah dijalankan secara telus dan berlandaskan peraturan sedia ada. Gambar kecil: Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menolak dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengatakan aduan dan bantahan berkaitan pemilihan parti tidak diberikan maklum balas.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Paduka Ahmad Kasim berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan amat dikesali.

Jelasnya, setiap aduan dan bantahan yang diterima diberi perhatian serius dan ditangani secara profesional, adil serta mengikut lunas peraturan.

“JPP ingin menegaskan bahawa segala proses berkaitan senarai pengundi bagi Pemilihan 2025 telah dijalankan secara telus dan berlandaskan peraturan sedia ada.

“Senarai keanggotaan yang digunakan adalah senarai terkini yang diterima daripada Pejabat Setiausaha Agung, setelah melalui proses pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (eKYC) secara menyeluruh, sebelum dikemas kini sebagai senarai pemilih yang sah.

“Kenyataan yang mendakwa JPP tidak mengendahkan aduan dan bantahan yang dikemukakan adalah tidak benar dan amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, JPP didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan apabila terdapat individu yang menyertai PKR secara 'Airbnb' hanya untuk tempoh pemilihan, dibenarkan mengundi dan bertanding dalam pemilihan cabang baru-baru ini.

Rafizi turut mendakwa JPP gagal menyemak status keahlian parti lain, sekali gus menyebabkan individu daripada parti seperti UMNO dan Pejuang terlepas serta berjaya bertanding dan memenangi jawatan di peringkat cabang.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, peraturan pemilihan parti telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Februari 2025 dan disahkan oleh Biro Politik pada 3 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua badan pembuat keputusan tersebut turut dianggotai oleh Rafizi.

“Peraturan ini secara jelas menetapkan bahawa setiap bantahan atau rayuan hendaklah disertakan dengan bukti mencukupi dan beban pembuktian terletak pada pihak yang mengemukakan bantahan atau rayuan tersebut.

“Sejumlah 289 bantahan dan aduan yang merangkumi pelbagai peringkat proses termasuk pencalonan, bantahan terhadap pencalonan, rayuan, pemuktamadan senarai calon, kempen serta proses pengundian telah diterima.

“Kesemua aduan ini telah diteliti dengan cermat dan sebahagiannya telah dirujuk kepada Pejabat Setiausaha Agung serta Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan lanjut berdasarkan bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

Tambah beliau, JPP juga meneliti bantahan keputusan pengundian selepas tamat pemilihan peringkat cabang dan membentangkannya dalam mesyuarat MPP.

“MPP telah membuat keputusan bagi enam cabang terpilih bersama juruaudit antarabangsa yang dilantik oleh MPP bagi mewakili semua segmen isu berkaitan keputusan pengundian cabang yang dibangkitkan.

“Laporan juruaudit antarabangsa yang disebarkan oleh Rafizi membuktikan sistem e-pengundian berada dalam keadaan baik, selamat dan tiada bukti terdapat manipulasi atau penyelewengan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!