Pengantin lelaki ditetak sebelum majlis, terpaksa akad nikah di hospital

PALEMBANG – Rombongan pengantin lelaki berdepan detik mengerikan apabila diserang secara tiba-tiba dalam satu kejadian yang tular di media sosial.
Rakaman kejadian memaparkan mangsa dikenali sebagai Ahmad Handa, 30, dihampiri sekumpulan lelaki bersenjata sejurus keluar dari kereta dalam kejadian di Palembang, Indonesia, pada Ahad.
Mangsa yang sudah lengkap berpakaian resepsi diserang secara agresif oleh kumpulan tersebut.
“Mangsa cuba melarikan diri, namun tetap dikejar hingga mengalami luka akibat ditetak pada tangan dan kaki.
“Keadaan menjadi huru-hara selepas penyerang turut melepaskan tembakan, menyebabkan ahli keluarga dan para tetamu panik,” lapor media tempatan.
Ahmad ketika disoal pihak berkuasa mengakui bahawa kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada dendam lama. Menurutnya, tiga daripada penyerang turut membawa pisau bayonet.
Walaupun insiden itu mencemaskan, majlis pernikahan bersama pasangannya, Farida Aryani, tetap dilangsungkan di hospital dalam keadaan Ahmad masih terlantar, disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua mempelai.
“Acara makan-makan juga diteruskan seperti biasa untuk para tetamu,” kata salah seorang ahli keluarga pengantin perempuan.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Seberang Ulu I, AKP Heri, berkata pihaknya telah menjalankan siasatan bersama Unit Siasatan Jenayah (Satreskrim) Polrestabes Palembang.
“Kami berjaya menahan sebuah kereta yang digunakan oleh pelaku. Terdapat sarung senjata tajam dan sebilah senjata tajam ditemui dalam kenderaan tersebut,” jelas Heri. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!