MCMC bakal laksana inisiatif penghantaran ubat guna dron

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal melaksanakan inisiatif penghantaran ubat menggunakan dron bagi mempercepatkan akses ubat ke kawasan luar bandar serta pedalaman di seluruh negara.
MCMC dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pelaksanaan fasa pertama penghantaran ubat-ubatan dijangka bermula pada suku keempat 2025 di dua buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), termasuk di Tawau, Sabah.
Jelasnya, projek rintis tersebut akan diperluas ke 150 buah NADI pada tahun 2026 dan disempurnakan kepada keseluruhan 392 buah NADI menjelang 2027.
“Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara. Pelaksanaan inisiatif dron ini akan dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku rakan utama serta rakan strategik seperti Lembaga Pengarah Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan penyedia teknologi dron tempatan.
“Inisiatif ini merupakan projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan pedalaman dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih, bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk kawasan pulau, pedalaman serta lokasi yang tidak mempunyai keadaan jalan yang baik,” katanya.
Sebelum ini, MCMC melalui NADI turut menyertai Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau dengan mempromosikan Perkhidmatan Pintar NADI serta projek strategik berimpak tinggi kepada komuniti, khususnya di kawasan pedalaman.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkesempatan mengunjungi reruai NADI.
Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, PMR Sabah 2025 merupakan inisiatif kerajaan melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju, serta Kerajaan Sabah sebagai tuan rumah, bagi membawa perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Dalam pada itu, MCMC menyatakan bahawa melalui kerjasama pelbagai agensi, projek dron tersebut turut menyokong agenda inisiatif kerajaan sedia ada dengan memberi penumpuan kepada akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti dan saksama kepada komuniti luar bandar melalui teknologi, seiring perkembangan serta ketersediaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI).
“Reruai NADI di PMR Tawau turut menampilkan pelbagai aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI menerusi lima teras utama iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
