Kashmir terus jadi rebutan India-Pakistan

SRINAGAR - Dua negara kuasa nuklear di Asia Selatan ini terjebak konflik tiada kesudahan di wilayah de facto Kashmir.
Provinsi di Himalaya yang menjadi tarikan pelancong dan terkenal kerana keindahan alam semula jadi itu terus menjadi rebutan India serta Pakistan.
Sengketa itu telah tercetus sejak sebelum New Delhi dan Islamabad memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada Ogos 1947.
Di bawah pelan pembahagian seperti ditetapkan Akta Kemerdekaan India, Kashmir bebas untuk menyertai New Delhi atau Islamabad.

Pada mulanya, pemerintah terakhir Jammu dan Kashmir, Maharaja Hari Singh mahu ia menjadi wilayah merdeka.
Namun, Kashmir akhirnya menjadi sebahagian daripada India pada Oktober 1947 kerana bantuan New Delhi menentang pencerobohan puak dari Pakistan.
Peperangan kemudiannya meletus dan India terpaksa meminta campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada Julai 1949, kedua-dua negara itu memeterai perjanjian untuk menubuhkan garisan gencatan senjata seperti dicadangkan PBB yang menyaksikan pembahagian wilayah tersebut.
Kesepakatan itu gagal meredakan ketegangan di Kashmir dan peperangan kedua menyusul pada 1965 serta konflik singkat pada 1999.
Sehingga kini, India dan Pakistan terus menuntut hak penuh ke atas Kashmir.
Penduduk di wilayah itu pula menyokong jika status separa autonomi dikembalikan setelah ia dibatalkan pada 2019 dan ada juga yang menuntut kemerdekaan sepenuhnya.
Lebih 60 peratus populasi di Srinagar yang ditadbir India adalah penduduk Muslim, sekali gus menjadikan ia satu-satunya bahagian di negara itu yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
Sejak 1989, pemberontakan bersenjata telah dilancarkan bagi menentang kawalan New Delhi di wilayah itu yang telah meragut puluhan ribu nyawa.
India mendakwa sejak pembatalan status khas di Kashmir, ancaman militan semakin berkurangan selain jumlah pelancong terus meningkat.

Bagi meredakan ketegangan di wilayah itu, New Delhi dan Islamabad pernah menandatangani perjanjian gencatan senjata pada 2003.
Tetapi, tempoh bertenang itu tidak bertahan lama setelah India menuduh kumpulan militan berpusat di Pakistan melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera udara di Pathankot di negeri utara Punjab pada 2015.
Sejak itu, hubungan antara kedua-dua negara itu terus meruncing malah tidak ada sebarang kemajuan dalam rundingan damai antara India-Pakistan.
Info:
>Pada 2016, India melancarkan 'serangan tepat' menyasarkan markas militan di Garis Kawalan (LoC) merentasi sempadan de facto antara kedua-dua negara.
>Pada 2019, insiden pengeboman Pulwama telah menyebabkan lebih 40 anggota separa tentera India terkorban. New Delhi bertindak balas dengan melancarkan serangan udara ke atas Balakot yang merupakan tindakan ketenteraan pertama ke atas Islamabad sejak 1971. India dan Pakistan kemudiannya saling berbalas serangan.
>Ketegangan kembali memuncak pada bulan lalu selepas serangan yang meragut 26 nyawa pelancong berhampiran bandar Pahalgam di Kashmir yang ditadbir India. Ia disifatkan sebagai serangan paling berdarah ke atas orang awam dalam tempoh dua dekad. - Agensi/AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

