X

Kindly register in order to view this article
!

'Mana ada UMNO lobi jawatan TPM'

Ahmad Zahid Hamidi
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan UMNO melobi untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO sebaliknya mengemukakan beberapa nama ahli Parlimen BN kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu untuk memilih individu yang benar- benar layak.

"Itu adalah budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan siapa yang bakal dilantik nanti," ciapnya di Twitternya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan kes membabitkan tuduhan rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Dalam perutusan pertama Muhyiddin selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau memberi gambaran bahawa hanya mereka yang bersih, berkaliber dan berintegriti akan dilantik sebagai anggota jemaah menterinya.

Kenyataan Perdana Menteri itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Presiden UMNO yang sedang berdepan dengan perbicaraan di mahkamah itu akan diketepikan dalam pembentukan Kabinet baharu.

Ahmad Zahid sebelum ini pernah menyifatkan pertuduhan dikenakan terhadapnya adalah pendakwaan politik, namun menegaskan akan membersihkan dirinya di mahkamah tanpa kesnya digugurkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus