Gesa PM campur tangan isu khidmat kakitangan kontrak ditamatkan

Harisrajudin Alaudin
Harisrajudin Alaudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk campur tangan dalam isu berkaitan penamatan khidmat melibatkan kakitangan awam lantikan kontrak.

Timbalan Presidennya, Harisrajudin Alaudin berkata, pihaknya berharap campur tangan itu akan dapat memastikan nasib kakitangan kontrak itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Sebagai seorang pemimpin yang prihatin, Muhyiddin boleh membawa perkara itu untuk perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diperhalusi.

"Dengan itu, mereka boleh terus diberi penempatan untuk berkhidmat dalam pelbagai agensi kerajaan sama ada secara kontrak mahupun lantikan hakiki," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Kimma mendakwa menerima rungutan daripada bekas kakitangan kontrak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang ditempatkan di pelbagai agensi kerajaan bahawa mereka bakal ditamatkan kontrak perkhidmatan secara berperingkat mulai Mac 2020.

Terdapat kakitangan PLKN ditempatkan di agensi kerajaan yang lain secara kontrak walaupun telah berkhidmat lebih 10 dan 15 tahun dengan kerajaan tetapi turut menerima nasib sama.

Harisrajudin berkata, segala pengalaman dimiliki kakitangan kontrak itu adalah aset kepada kerajaan dalam menaiktaraf mutu perkhidmatan awam dalam negara.

Beliau berkata, segala jasa dan sumbangan mereka kepada agensi kerajaan perlu dinilai, selain turut menjadi duta kecil kerajaan bagi memudahkan urusan pelbagai lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu menerima hakikat bahawa khidmat mereka masih diperlukan untuk memastikan segala urusan di agensi kerajaan berjalan lancar kerana secara tidak langsung akan memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan yang cekap.

"Penamatan kontrak ini wajar diberi pertimbangan oleh kerajaan, selain keutamaan juga perlu diberikan kepada mereka untuk mengisi kekosongan jawatan hakiki dalam kerajaan," katanya.