IMF lulus pembiayaan AS$1 bilion untuk Pakistan

NEW DELHI – Lembaga Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat meluluskan penyaluran dana sebanyak AS$1 bilion kepada Pakistan.
Kemudahan Dana Lanjutan (Extended Fund Facility – EFF) selama 37 bulan berjumlah AS$7 bilion bagi menyokong ekonomi Pakistan telah dimuktamadkan oleh IMF pada September 2024.
Menurut kenyataan IMF, lembaga eksekutifnya pada Jumaat menyelesaikan semakan pertama terhadap program pembaharuan ekonomi Pakistan yang disokong melalui kemudahan tersebut.
Keputusan itu membolehkan penyaluran segera kira-kira AS$1 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disalurkan di bawah kemudahan berkenaan kepada sekitar AS$2.1 bilion.
“Pakistan telah mencatat kemajuan penting dalam usaha memulihkan kestabilan makroekonomi meskipun berdepan persekitaran yang mencabar.
“Sejak kelulusan Kemudahan Dana Lanjutan, ekonomi terus menunjukkan pemulihan, dengan kadar inflasi menurun dengan ketara dan rizab luar meningkat secara signifikan,” kata Timbalan Pengarah Urusan IMF, Nigel Clarke.
Beliau berkata, dasar monetari ketat yang dilaksanakan oleh Bank Negara Pakistan (SBP) memainkan peranan penting dalam menurunkan kadar inflasi ke paras antara yang terendah dalam sejarah.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut menyatakan rasa puas hati terhadap kelulusan tranche pinjaman tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
