Piala Dunia dirombak, 48 pasukan berentap mulai 2031

FIFA secara rasmi mengumumkan penambahan jumlah pasukan dalam Piala Dunia Wanita daripada 32 kepada 48 pasukan
FIFA secara rasmi mengumumkan penambahan jumlah pasukan dalam Piala Dunia Wanita daripada 32 kepada 48 pasukan
A
A
A

DUNIA bola sepak wanita dijangka menyaksikan perubahan bersejarah apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi mengumumkan penambahan jumlah pasukan dalam Piala Dunia Wanita daripada 32 kepada 48 pasukan, bermula edisi 2031.

Keputusan sebulat suara oleh Majlis FIFA itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada edisi 2035, yang dijangka dihoskan oleh United Kingdom (UK).

Impaknya, format pertandingan akan dirombak kepada 12 kumpulan, dengan tambahan 40 perlawanan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 64 kepada 104 perlawanan. Tempoh kejohanan juga akan dipanjangkan selama seminggu.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, menyifatkan perubahan ini sebagai peluang kepada lebih banyak negara untuk meraih manfaat daripada kejohanan tersebut dalam usaha membangunkan struktur bola sepak wanita mereka.

“Keputusan ini juga akan memastikan kita mengekalkan momentum dalam mengembangkan bola sepak wanita di peringkat global,” kata Infantino.

Sebagai rekod, England mara ke final Piala Dunia Wanita yang berlangsung di Australia dan New Zealand pada 2023 sebelum tewas kepada Sepanyol.

The Lionesses, bersama Scotland, Wales dan Ireland Utara, berpeluang untuk bersaing di tanah air sendiri pada 2035 dengan UK dilihat sebagai satu-satunya bidaan yang sah untuk kejohanan tersebut.

Tiada satu pun daripada negara-negara tuan rumah itu pernah menjulang trofi sejak temasya ini diperkenalkan pada tahun 1991.

Sementara itu, kesatuan pemain FIFPRO menyambut baik pengembangan ini secara prinsipnya tetapi turut menyeru agar beberapa isu dalam bola sepak wanita ditangani secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

“(Pengembangan Piala Dunia) mencerminkan pertumbuhan global bola sepak wanita.

“Bagaimanapun, sokongan pemain bergantung kepada pembuatan keputusan yang inklusif dan perancangan kerjasama yang menghormati semua pihak berkepentingan.

“Adalah penting agar pembangunan global pertandingan wanita berjalan seiring dengan peningkatan kondisi kerja dan kemajuan pemain, serta pembangunan lebih jauh ke bawah piramid.

“Ini adalah satu-satunya jalan menuju keberlanjutan, ekspansi dan kemajuan yang sejati,” kata FIFPRO.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!