Pemain kena buat keputusan tepat, elak hilang sumber pendapatan

Pasukan Sri Pahang FC antara yang dikatakan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.
Pasukan Sri Pahang FC antara yang dikatakan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.
A
A
A

PEMAIN daripada beberapa pasukan gergasi yang berkemungkinan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan perlu lebih realistik dalam menetapkan gaji yang mahu diminta dengan kelab baharu sekiranya mahu terus beraksi dalam industri bola sepak negara.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, lambakan bakat pemain akan berlaku musim depan ekoran penutupan pasukan-pasukan gergasi tersebut sekali gus menjadi cabaran untuk mereka mencari pasukan baharu.

Sulaiman (tengah) menasihati pemain untuk tidak malu turun beraksi di liga bawahan.
Sulaiman (tengah) menasihati pemain untuk tidak malu turun beraksi di liga bawahan.

Menurutnya, pemain-pemain tersebut mungkin boleh menimbangkan untuk bermain di liga lebih bawah seperti Liga A1 selain perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak akan mendapat gaji tinggi seperti di kelab lama.

“Pemain-pemain sudah tidak boleh menuntut ataupun mengharapkan satu jumlah gaji yang mungkin tidak mampu dibayar oleh pasukan terutama di Liga A1.

“Jadi, pemain perlu realistik sama ada mereka ingin terus bermain atau mereka tetap dengan keinginan untuk mendapatkan gaji yang besar.

“Akhirnya, mereka tidak dapat pasukan. Namun, segalanya bergantung kepada pemain dan mereka kena buat pilihan yang betul.

“Pastinya banyak pasukan akan pilih pemain bagus yang boleh dapat dalam harga yang murah. Kalau ada tiga pemain bagus, mana yang paling murah itu akan jadi pertaruhan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, beberapa pasukan dilaporkan berkemungkinan akan menarik diri daripada saingan Liga Super susulan masalah kewangan yang menyebabkan mereka berdepan tunggakan gaji serius.

Masa depan kelab seperti Perak FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC terus menjadi tanda tanya dan jika benar mereka menarik diri, maka akan terhasilnya lambakan pemain yang perlu mencari pasukan baharu.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, para pemain tidak perlu malu untuk turun beraksi di liga bawahan dan menjadikan saingan liga tersebut untuk mereka kembali menambat hati pasukan Liga Super.

"Tetapi pastinya di situ tidak menjanjikan satu gaji atau pendapatan yang besar tapi boleh dijadikan transisi.

“Maksudnya, gunakan tempat ini untuk terus ada dalam radar supaya mungkin ada pasukan-pasukan dalam Liga Super melihat kemampuan dan musim seterusnya mungkin akan dapat naik kembali bermain di Liga Super,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!