'Kita semua sahabat seperjuangan'

Dengan barisan tokoh lama dan baharu bersaing untuk merebut tempat, tumpuan kini beralih kepada bagaimana parti ini mampu mengekalkan perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mempertahankan jawatan Naib Presiden menegaskan, pemilihan kali ini walaupun dilihat sengit, ia bukan soal siapa kalah atau menang tetapi bermatlamatkan untuk memastikan parti yang lahir dari reformasi politik itu terus bergerak ke hadapan dan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk penggal akan datang.
Ikuti laporan penuh Program Interviu yang disediakan oleh TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN dan jurugambar, ASRIL ASWANDI SHUKOR.
SINAR HARIAN: Sebelum menyentuh mengenai pemilihan parti, boleh berkongsi latar belakang YB sebelum menyertai politik kerana kita tahu sekitar 26 atau 27 tahun lalu, sewaktu gelombang reformasi tercetus, YB baru berusia 16 tahun. Apa yang menarik perhatian seorang remaja seusia YB ketika itu terhadap gerakan Reformasi 1998?
NIK NAZMI: Peristiwa reformasi 1998 merupakan satu kejutan besar. Malaysia ketika itu dilihat sedang gah, menikmati pertumbuhan ekonomi pesat dengan gandingan dua tokoh besar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar yang diyakini bakal membawa negara ke satu tahap lebih tinggi.
Namun, krisis kewangan Asia pada 1997 diikuti dengan pemecatan Anwar pada 1998 benar-benar mengejutkan kami.
Ia adalah detik yang membuka mata bagaimana seorang tokoh utama kerajaan boleh diperlakukan sedemikian rupa. Pada masa sama, rakyat berhimpun beramai-ramai, sesuatu yang sebelum ini saya hanya baca dalam buku sejarah tentang kebangkitan mahasiswa era 70-an, di mana Anwar sendiri merupakan pemimpin pelajar.
Waktu itu, saya baru berusia 16 tahun dan keluarga saya tidak membenarkan saya turun ke jalanan walaupun mereka menyokong gerakan reformasi.
Namun sebagai seorang remaja yang suka membaca dan menulis, saya mengambil bahagian melalui tulisan menyumbang artikel.
SINAR HARIAN: Adakah YB melihat peristiwa Reformasi 1998 sebagai titik perubahan besar dalam sejarah negara?
NIK NAZMI: Ya, saya percaya ia adalah satu turning point yang penting. Sebelum itu, perjalanan negara selepas merdeka kelihatan agak stabil, trajektorinya lancar tetapi reformasi telah mengubah landskap politik negara. Ia mencetuskan satu kesedaran baharu dan menggerakkan ramai anak muda untuk lebih peka, berani bersuara dan tidak lagi menerima sesuatu secara membuta tuli.
SINAR HARIAN: Ketika itu kita melihat kepimpinan negara diterajui oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri. Namun apabila peristiwa reformasi berlaku, adakah YB melihat ia benar-benar mengubah hala tuju negara sehingga menjadi seperti yang kita lihat hari ini?
NIK NAZMI: Betul. Saya fikir memang ada beberapa insiden lain dalam sejarah kita, tetapi reformasi adalah antara yang paling signifikan. Sebelum itu, banyak isu politik di Malaysia berkisar pada soal kaum dan agama namun ketika reformasi tercetus, isunya bukan lagi tentang kaum atau agama semata-mata. Ia bukan juga hanya tentang individu walaupun sosok utama yang paling terkesan ialah Anwar.
SINAR HARIAN: Bagaimana detik permulaan penglibatan YB dalam politik? Adakah YB berada di Hotel Renaissance pada 4 April 1999 ketika penubuhan PKR?
NIUIK NAZMI: Tidak. Pada 1999, saya masih di Tingkatan 5 dan tinggal di asrama. Penglibatan awal saya sebenarnya melalui penulisan dan waktu itu, ada yang membaca termasuklah Datuk Seri Rafizi Ramli. Kami sama-sama dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Rafizi nampak kecenderungan politik saya dan mula menarik saya. Waktu itu, boleh saya katakan sikap politik saya adalah anything but UMNO, sama macam saya pilih pasukan bola anything but Manchester United. Saya baca tentang Pas, Parti Rakyat, Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura. Ayah saya sendiri hampir bertanding atas tiket Pas pada tahun 1990.
Tapi akhirnya saya teruja dengan gerakan reformasi dan pengaruh Anwar. Saya bertemu saudari Nurul Izzah pada tahun 2000, selepas tamat sekolah. Ketika itu saya mula bantu parti secara sukarela.
Saya juga bantu buat ucapan untuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ezam Mohd Nor dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa saya belajar di United Kingdom. Apabila pulang ke Malaysia pada tahun 2005, saya menyertai PKR secara rasmi sebagai anggota biasa.
SINAR HARIAN: Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, adakah stigma anything about UMNO itu masih mengakar?
NIK NAZMI: Saya fikir kita perlu bersikap terbuka. Kalau kita lihat semula, parti mana yang kami belum pernah bekerjasama pada hari ini? Mungkin itu memang sudah ditakdirkan.
Pas pernah hentam PKR, hentam DAP, tetapi satu ketika dulu mereka juga pernah rapat. Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah memeluk Tan Sri Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh.
Begitu juga dengan kami dalam PRK pernah bersama Pas, pernah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Jadi bukan sesuatu yang mudah sebenarnya. Saya masih ingat ketika kali pertama saya perlu berjumpa dengan Dr Mahathir sebagai Ketua Pemuda PH, memang rasa sangat berat pada waktu itu.
Saya pun tak tahu nak beri reaksi macam mana, sebab kita dulu lahir dalam zaman melawan beliau. Tetapi pada saya, kita perlu sedar bahawa dalam politik, di mana-mana pun di dunia ini, koalisi politik bukan perkara luar biasa. Kalau kita tak ada majoriti, maka kita kena bersedia untuk bekerjasama.
Namun begitu, mestilah ada parameter dan syarat-syarat tertentu. Bukan bermaksud kita korbankan prinsip selain perlu pastikan kepentingan semua pihak iaitu PKR, UMNO dan parti-parti lain dapat di harmonikan sebaik mungkin. Ia bukan sesuatu yang mudah.
Perbezaan itu normal, tetapi saya percaya, kita sudah berjaya mewujudkan sebuah kerajaan stabil selepas melalui tempoh yang agak ribut sebelum ini.
SINAR HARIAN: Dalam pemilihan di peringkat cabang baru-baru ini, termasuk di Cabang Setiawangsa, YB tidak berjaya mempertahankan kedudukan, tewas kepada Datuk Afdlin Shauki. Keputusan ini menimbulkan fenomena yang disebut sebagai ‘badan tanpa kepala’ di beberapa cabang seluruh negara. Pada pandangan YB adakah ia akan menjejaskan keharmonian atau dinamik dalam parti?
NIK NAZMI: Ini bukan soal individu, tetapi soal parti. Sudah tentu sesiapa sahaja yang masuk bertanding akan berharap proses pemilihan dilaksanakan dengan sistematik dan setelus mungkin.

Ini bukan kali pertama saya kalah dalam pemilihan parti kerana pernah tewas di peringkat cabang sebelum ini. Mesej saya kepada penyokong ialah kita perlu fokus kepada perkara yang lebih besar.
Saya pernah tekankan dalam mesyuarat pimpinan pusat (MPP) bahawa yang penting adalah matlamat di sebalik pemilihan parti bukan semata-mata siapa yang menang tetapi hasil daripada pemilihan ini akan menghasilkan sebuah parti yang lebih kuat untuk menghadapi PRU akan datang mempertahankan Anwar sebagai Perdana Menteri bagi penggal seterusnya.
SINAR HARIAN: Sehari dua ini muncul cadangan di peringkat cabang dan negeri yang mengangkat nama Nurul Izzah untuk calon Timbalan Presiden. Nurul Izzah dan Rafizi pernah berada dalam satu pasukan Ayuh Malaysia bersama ketika pemilihan tahun 2022. Ini yang menjadikan situasi ini dilihat sedikit rumit. Adakah ia berpotensi mencetuskan satu lagi rasa tidak selesa dalam parti?
NIK NAZMI: Ini adalah pemilihan parti, bukan PRU, jadi dalam konteks ini, kita semua adalah sahabat seperjuangan. Saya sendiri tidak melihat sesiapa pun dalam pemilihan ini sebagai musuh ketat.
Seperti yang saya sebut sebelum ini, antara individu terawal yang bersama saya dalam parti adalah Rafizi dan Nurul Izzah. Jadi bagi saya, hak cabang untuk mencalonkan sesiapa.
Satu perkara yang menarik tentang cadangan menamakan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden ialah naratif bahawa ini merupakan persediaan parti untuk mengangkat Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Apa pandangan YB mengenai perkara ini?
Dari sudut itu, PKR memang mempunyai sejarah yang panjang. Kita pernah melahirkan ketua pembangkang wanita pertama dan juga Timbalan Perdana Menteri wanita pertama.
Namun, apa jua langkah yang mahu diambil perlu dilakukan dengan tertib. Bagi saya, semua orang bebas menyatakan sokongan sama ada kepada Rafizi, Saifuddin atau Nurul Izzah untuk jawatan Timbalan Presiden. Itu adalah hak setiap ahli.
SINAR HARIAN: Sebagai penutup, apa yang boleh dijangkakan terhadap Keadilan dalam tempoh lima tahun akan datang atau selepas era Anwar?
NIK NAZMI: Dalam tempoh lima tahun akan datang, harapan saya ialah PKR dapat terus memperkukuh kedudukannya. Insya-ALLAH dalam PRU16 nanti, kita akan bertanding untuk mempertahankan kerajaan. Ini sesuatu yang belum pernah kita lakukan sebelum ini. Kita menang PRU14 pada 2018, tetapi selepas itu berlaku Langkah Sheraton. Ketika PRU15 pada 2022, kita masih sebagai pembangkang.
Kali ini berbeza, kita adalah kerajaan dan Anwar adalah Perdana Menteri. Maka kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab besar ini. PRU16 adalah peluang untuk kita menang satu lagi penggal dan memastikan kestabilan kerajaan serta kesinambungan kepimpinan parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!