Pindaan RUU Akta Perkhidmatan Bomba ambil kira kebajikan anggota PBB

Nor Hisham (tiga dari kiri) bersama sebahagian penerima yang diraikan pada Majlis Penyerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan JBPM Pahang di sini pada Jumaat.
Nor Hisham (tiga dari kiri) bersama sebahagian penerima yang diraikan pada Majlis Penyerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan JBPM Pahang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan cabaran besar dalam mengekalkan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) berikutan ramai yang memilih menamatkan perkhidmatan selepas mendapat tawaran kerja lain.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tahun lalu kira-kira 33 peratus anggota PBB meletak jawatan.

Menurutnya, jumlah itu tinggi berbanding jumlah keanggotaan sedia ada yang lebih rendah daripada siling pengambilan anggota PBB hanya 2,300 anggota yang ditetapkan.

"Kita dapati bekas anggota bomba bantuan menjadi pilihan majikan dalam sektor tertentu mengambil kira kemahiran dimiliki mereka.

"Ini kerana mereka mempunyai asas kebombaan justeru tahap keyakinan pihak industri terhadap bekas bomba bantuan tinggi untuk diterima bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan JBPM Pahang di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah JBPM, Mohd Razam Taja Rahim.

Nor Hisham berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Negara pada 23 Mac antara lain turut memberi tumpuan kepada kebajikan mereka.

"Langkah itu antara usaha untuk mengekalkan mereka dalam pasukan dengan manfaat yang lebih baik antaranya bantuan melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB).

Artikel Berkaitan:

"Melalui pindaan akta itu, kita masukkan anggota PBB sebagai salah satu golongan penerima manfaat kumpulan wang itu," katanya.

Jelasnya, pelbagai manfaat akan diterima mereka antaranya bantuan bencana, kematian,perubatan dan sebagainya.

"Berdasarkan akta sebelum ini, hanya pegawai bomba sepenuh masa dan pesara bomba yang boleh menerima mafaat kumpulan wang tersebut.

"Selepas pindaan akta itu, diwartakan anggota PBB juga tersenarai sebagai penerima manfaat itu," ujarnya.

Nor Hisham berkata, walaupun ramai anggota PBB memilih untuk beralih arah, beliau tetap positif.

Baginya, situasi itu salah satu matlamat daripada usaha JBPM untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

"PBB sebagai batu loncatan kepada anggota pasukan itu ke arah masa depan lebih baik

"Jika dahulu mereka tiada kemahiran. Lepas menjalani latihan kebombaan, mereka boleh gunakan kemahiran itu untuk mohon kerja lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, seramai 214 anggota dan pegawai JBPM Pahang diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM 2024.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 70 merupakan penerima Pingat Perkhidmatan Bomba, APC (77 penerima), Sijil Perkhidmatan 30 tahun (46 penerima) dan Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB (21 penerima).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!