Mohd Hasrizam terima Pingat Bintang Wira Merah JBPM

KUANTAN – Anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran, Mohd Hasrizam Hasin, 41, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi anggota lain-lain pangkat pertama yang dianugerahkan Pingat Kebesaran Bomba, Bintang Wira Merah.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan atas sumbangan dan penglibatan beliau bersama pasukan dalam misi ‘luar biasa’ operasi menyelamat bencana di luar negara.
Sebelum ini, pingat kebesaran bomba itu hanya dianugerahkan kepada lima penerima dalam kalangan pegawai tinggi JBPM.
Mohd Hasrizam, yang sudah 20 tahun berkhidmat dalam pasukan itu, berkata beliau menyertai pasukan STORM sejak tahun 2011 dan telah terlibat dalam banyak misi menyelamat bencana di dalam dan luar negara.
Menurutnya, antara misi menyelamat yang disertainya sebagai anggota STORM termasuk tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 mangsa pada Disember 2022.
“Saya juga turut terlibat dalam beberapa kes bencana tanah runtuh lain termasuk di Cameron Highlands dan Pulau Pinang.
“Bagi misi menyelamat di luar negara, saya antara yang terlibat dalam operasi menyelamat tragedi gempa bumi kuat yang berlaku di Turkiye pada 2023,” katanya.
Mohd Hasrizam berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan JBPM Pahang di sini, pada Jumaat.

Majlis tersebut disempurnakan KetuaPengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Sementara itu, berkongsi pengalaman ketika menyertai misi mencabar di Turkiye, anggota bomba berasal dari Maran itu berkata, peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan ialah ketika membantu membawa keluar seorang bayi yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
“Bayi yang terperangkap hampir seminggu itu berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dengan tubuh diselaputi debu.
“Tak sangka bayi itu masih selamat walaupun terperangkap di bawah runtuhan dalam keadaan cuaca ekstrem,” katanya.
Jelasnya lagi, misi selama 18 hari itu benar-benar mencabar kerana operasi dijalankan dalam cuaca ekstrem dengan perlindungan diri yang terhad.
“Selain menyertai misi di luar negara, saya juga pernah mengikuti latihan dan pertandingan di peringkat antarabangsa.
“Saya bersama pasukan pernah menjadi juara menewaskan belasan pasukan negara lain pada Cabaran Bomba Antarabangsa di Singapura,” katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, anugerah yang diterima membangkitkan semangat dan menjadi motivasi untuk terus memberi perkhidmatan terbaik bersama pasukan dalam membantu masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!