Saman RM10 juta: 'No comment', jawab Saifuddin

Saifuddin (tengah) menunjukkan tanda bagus sempena lawatannya ke Shaks hari ini.
Saifuddin (tengah) menunjukkan tanda bagus sempena lawatannya ke Shaks hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Indera Mahkota enggan mengulas mengenai saman RM10 juta yang bakal dikenakan terhadapnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas dakwaan keluar parti berdasarkan dokumen perundangan yang sudah ditandatangani sebelum diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebaliknya, beliau memberitahu, tumpuannya ketika ini adalah untuk meneruskan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen di kawasannya.

Menurutnya, pusat khidmatnya juga akan beroperasi seperti biasa walaupun situasi politik sudah berubah.

"Kalau isu saman PKR terhadap saya, 'no comment' tetapi apa saya boleh cakap, saya akan terus berkhidmat seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Hajjah Sultanah Kalsom (Shaks) hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 bekas wakil rakyat PKR bakal disaman RM10 juta

Semalam, Bendahari PKR, Lee Chean Chung mendedahkan PKR akan mengeluarkan saman dan menuntut 12 wakil rakyat termasuk Saifuddin untuk membayar RM10 juta kerana keluar daripada PKR.

Chean Chung berkata, tindakan itu dibuat parti berdasarkan dokumen perundangan yang telah ditandatangani setiap ahli Parlimen sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mengulas mengenai lawatan di Shaks, Saifuddin berkata, ia merupakan sekolah harian cemerlang dan terbaik dalam pencapaian SPM di Parlimen Indera Mahkota dan boleh dijadikan model kepada sekolah lain dari segi pencapaian akademik.

Menurutnya, perkembangan itu turut membuktikan bahawa pencapaian pendidikan sekolah di bandar dan luar bandar memperlihatkan keseimbangan apabila sekolah harian juga mampu menghasilkan pelajar cemerlang dan berkebolehan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Selain akademik, Shaks juga turut cemerlang dalam pelbagai bidang teknologi dan sains apabila memenangi pelbagai pengiktirafan di peringkat dunia antaranya bidang robotik dan formula one," katanya.

Turut hadir, Pengetua Shaks, Mahadzir Hanapiah, guru-guru dan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2019.