Pemandu bas meludah boleh dikenakan tindakan

IPOH- Pemandu bas yang dikesan meludah ketika memandu antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kesalahan lain yang dipantau menerusi aktiviti penyamaran itu adalah penggunaan telefon bimbit semasa memandu, merokok, membuang sampah dan memotong kenderaan di garisan berkembar.
Tambahnya, seramai lapan anggota akan ditugaskan menyamar sebagai penumpang melibatkan laluan ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.
"Kadang kala meludah ini nampak seperti perkara biasa tetapi ia menjadi kesalahan ketika sedang memandu. Tingkah laku ini sebenarnya menjijikkan orang ramai.
"Sebagai pemandu, dia perlu bersedia dan sentiasa cergas demi keselamatan penumpang. Op penyamaran bas ini akan dilaksanakan sepanjang op dilaksanakan bermula 20 hingga 28 Januari dan 31 hingga 9 Februari," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Op Khas Motosikal sempena TBC di Jalan Tambun, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss antara 21 kenderaan yang disita kerana cukai jalan dan insurans kenderaan itu tidak diperbaharui sejak tahun 2014.
Katanya, penunggang motosikal berusia 21 tahun itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu.
"Bagi saya ini merupakan satu contoh sikap tidak bertanggungjawab oleh pemilik kenderaan selain kita dapati motosikal tersebut tidak mempunyai cermin sisi," katanya.
Tambahnya, sebanyak 325 Notis JPJ (P)22 juga dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 1,025 kenderaan.
"Operasi khas motosikal ini memberi tumpuan kepada kesalahan-kesalahan lalu lintas, lumba haram dan pengubahsuaian ekstrem terhadap komponen motosikal serta pelesenan pemandu serta kenderaan.
"Operasi ini diberi fokus sempena TBC kerana berdasarkan rekod kemalangan maut, penunggang dan pembonceng motosikal adalah paling tinggi jika dibandingkan kenderaan lain antara 60 hingga 75 peratus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!