Semua masjid di Perak akan diaudit

Mohd Annuar (kiri) ketika sidang akhbar di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Mohd Annuar (kiri) ketika sidang akhbar di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Pihak Berkuasa Agama Islam Perak akan melaksanakan audit ke atas semua masjid di negeri ini bagi memastikan status pemilikan tanah masing-masing, sekali gus mengelakkan isu penjualan tanah wakaf berulang pada masa akan datang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) susulan isu yang berlaku melibatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai.

Menurutnya, audit tersebut membabitkan lebih 600 masjid di seluruh Perak dan akan diselaraskan dengan data daripada pejabat daerah dan tanah di negeri ini.

“Saya pasti MAIPk mengambil pengajaran; mungkin akan berlaku lagi selepas ini. Kita akan bersama JAIPk membuat satu langkah nasihat pentadbiran kepada semua pengerusi masjid agar memastikan status hak milik tanah mereka jelas dan sah.

“Jika ada kes seperti Masjid Alor Pongsu, kita akan selesaikan lebih awal sebelum timbul isu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut isu Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Mohd Annuar menjelaskan, masjid berkenaan dibina pada tahun 1931 di atas tanah wakaf khas masjid dan tapak perkuburan di Lot 6269.

Bagaimanapun, pada 5 Disember 2020, jawatankuasa kariah telah membuat pengukuran semula dan persempadanan tanah, mendapati beberapa ruang masjid memasuki sempadan tanah milik persendirian di Lot 6271, melibatkan binaan dewan solat, tandas serta tempat duduk muslimat seluas 93.83 kaki persegi.

Pembinaan bangunan tambahan tersebut telah diwakafkan oleh pemilik asal, namun hanya melalui ungkapan lisan yang menyebabkan tidak berlaku pindah milik rasmi kepada MAIPk.

Susulan itu, waris iaitu anak kepada pewakaf telah menjual tanah tersebut kepada sebuah syarikat di Pulau Pinang dengan harga RM180,000 pada tahun 2002, sebelum dipindah milik sepenuhnya kepada pemilik baharu pada tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun lalu, jawatankuasa kariah masjid berkenaan bercadang membeli Lot 6271 dan tambahan Lot 6270 untuk tujuan saraan, dan cadangan tersebut telah dipersetujui oleh pemilik tanah dengan tawaran harga RM1.8 juta.

Sementara itu, Mohd Annuar menyangkal dakwaan bahawa kerajaan negeri bersikap pilih kasih dalam urusan pembelian tanah masjid tersebut.

Beliau kesal dengan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu berkenaan dan menyalahkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta kerajaan negeri atas berlakunya isu tersebut.

“Saya lihat tuduhan dan kenyataan yang dilemparkan kepada Menteri Besar – mengatakan lembik, tidak bertanggungjawab, menyusahkan rakyat, dan membandingkan dengan tindakan kerajaan membeli tanah untuk kuil Hindu – sebagai kata-kata yang tidak bertanggungjawab.

“Menteri Besar memberi peluang kepada umat Islam untuk beramal dan berwakaf. Saya percaya, jika masjid gagal mengumpul dana secukupnya, Menteri Besar tidak akan membiarkan bahagian masjid ini dirobohkan,” katanya.

Beliau turut menasihati jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Ridzuan agar segera menyelesaikan urusan pembelian tanah memandangkan dana telah mencukupi, bagi mengelakkan sebarang masalah berpanjangan.

“Kalau tuan tanah sudah sedia jual, duit pun sudah ada, jangan tangguh. Selesaikan segera dengan perjanjian jual beli rasmi dan proses pindah milik di pejabat tanah.

“Jika perlu bantuan daripada MAIPk, kami akan bantu,” ujar Mohd Annuar lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, MAIPk menyerahkan kepada jawatankuasa masjid masing-masing sama ada untuk meneruskan penyaluran sumbangan yang telah dikutip kepada Masjid Ar-Ridzuan atau menggunakannya untuk keperluan lain, susulan pekeliling yang dikeluarkan oleh JAIPk awal minggu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!