LIMA'25: 40,000 tiket feri terjual, trip ditambah tampung permintaan tinggi

ALOR SETAR – Sebanyak 40,000 tiket feri perjalanan dua hala dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi telah terjual sepanjang lima hari berlangsungnya Penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA '25) setakat ini.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata, pihaknya telah menambah 100 trip feri sepanjang tempoh 20 hingga 25 Mei ini bagi memenuhi permintaan penumpang yang meningkat.
Menurutnya, walaupun acara LIMA’25 tamat pada 24 Mei, pihak Ferry Line Ventures melanjutkan operasi sehari lagi hingga 25 Mei bagi memastikan semua penumpang dapat keluar dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis tanpa sebarang kesesakan.
“Setakat ini, masih ada baki tiket sekitar 10,000, dan trip tambahan akan dibuat berdasarkan permintaan.
"Jika permintaan terus meningkat, perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi boleh dilanjutkan hingga 12.00 malam,” katanya pada sidang akhbar di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pada Khamis.
Norhafiz menegaskan bahawa pihaknya mematuhi semua keperluan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia, termasuk penyediaan jaket keselamatan dan lampu pandu arah bagi memastikan penumpang selamat sepanjang perjalanan.
“Penyelenggaraan feri telah dilakukan lebih awal sebelum tempoh ini. Jika berlaku isu teknikal, ada feri tersedia untuk menggantikan perkhidmatan bagi mengelakkan sebarang gangguan operasi,” tambahnya.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran perjalanan, pusat kawalan operasi akan mengurus aliran keluar masuk penumpang secara sistematik.
“Setiap sejam, kita ada satu trip feri, dan jika permintaan bertambah, kita akan buka lagi slot dalam sistem serta kemas kini maklumat perjalanan di laman web,” katanya lagi.
Beliau turut menyarankan penumpang supaya membeli tiket secara dalam talian melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi, bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan tempahan mereka berjalan lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!