Kes Abang Belon: Peguam mulakan tindakan terhadap DBKL

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Muhammad Zaimuddin Azlan atau dikenali sebagai Abang Belon, yang cedera dalam insiden kekecohan bersama penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 28 Mac lalu, akan memulakan tindakan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata, satu surat rasmi telah dihantar kepada pihak DBKL hari ini bagi mendapatkan butiran lengkap pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil di mahkamah.
“Hari ini, kita telah secara rasmi menulis surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Pengarah Undang-Undang dan Pendakwaan DBKL serta Pengarah Bahagian Penguat Kuasa DBKL.
“Dalam surat itu, kita menyatakan bahawa saudara Zaimuddin atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’ secara rasmi memohon agar nama serta pangkat pegawai penguat kuasa terlibat dibekalkan bagi tujuan tindakan undang-undang sivil.
“Sama ada kita akan mulakan dengan notis tuntutan terlebih dahulu atau terus failkan saman, itu sedang dipertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara pada Rabu.
Rafique berkata, tindakan undang-undang itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan penuh perubatan daripada Hospital Serdang yang mengesahkan anak guamnya mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut.

Katanya, laporan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Zaimuddin hanya ‘berlakon sakit’.
“Sampai sekarang, Abang Belon masih memakai alat bantuan sokongan. Laporan perubatan juga menunjukkan terdapat kecederaan pada bahagian saraf tunjang yang boleh membawa risiko lumpuh,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang didakwa menyebarkan fitnah terhadap Zaimuddin.
“Kita juga sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan saman malu atau tuntutan ganti rugi terhadap individu yang membuat tohmahan tidak berasas di media sosial,” ujarnya.
Terdahulu, Zaimuddin menafikan dakwaan bahawa beliau berpura-pura sakit atau menerima bayaran untuk berbuat demikian.
Seorang pengamal perubatan swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran, turut mengesahkan bahawa berdasarkan laporan perubatan, Zaimuddin berisiko mengalami lumpuh kekal berikutan kecederaan pada saraf tulang belakang toraks.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

