Laksanakan audit forensik kenal pasti harta wakaf seluruh Perak - Razman

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri disarankan menjalankan audit forensik terhadap semua aset wakaf di Perak bagi menambah baik aspek perundangan dan tadbir urus wakaf.

Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, tindakan itu penting bagi mengenal pasti harta wakaf yang belum didaftarkan, telah disalah urus atau berisiko dijual kepada pihak ketiga.

"Isu ini menunjukkan keperluan segera untuk meneliti semula sistem pentadbiran wakaf selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang memperuntukkan bahawa semua harta wakaf adalah tertakluk kepada kawalan dan pengurusan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di negeri ini.

"Seksyen 78 dan 79 enakmen yang sama juga memperuntukkan bahawa sebarang pewakafan tanah dan harta hendaklah didaftarkan secara rasmi dan tidak boleh dipindah milik atau dijual tanpa kebenaran bertulis MAIPk," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Razman, pihaknya mencadangkan supaya satu pangkalan data digital harta wakaf negeri yang komprehensif dibangunkan dan boleh diakses oleh pihak berkepentingan untuk tujuan pemantauan dan ketelusan.

"Kita mencadangkan penggubalan dan penguatkuasaan Dasar Perlindungan Wakaf Negeri Perak termasuk mekanisme pemantauan, pelaporan dan siasatan kesalahan jenayah syariah berkaitan wakaf.

"Selain itu, perlu ditingkatkan kapasiti MAIPk dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dari segi perundangan, pemetaan harta serta latihan teknikal dalam pengurusan tanah dan dokumen pemilikan," katanya.

ADUN Gunong Semanggol itu turut menyarankan agar aspek pendidikan, kesedaran dan perundangan komuniti diperkasakan.

"Agenda ini perlu diperluas kepada masyarakat umum menerusi program pendidikan undang-undang syariah dan sivil berkaitan wakaf, termasuk hak pewakaf dan prosedur pendaftaran wakaf di bawah enakmen negeri.

Artikel Berkaitan:

"Penyediaan bahan pendidikan wakaf berbentuk digital dan bercetak perlu diselaraskan oleh MAIPk dan JAIPk dengan kerjasama institusi pendidikan Islam.

"Selain itu, perlu diadakan seminar dan bengkel khusus kepada ahli jawatankuasa masjid, imam dan penduduk kampung mengenai tanggungjawab menjaga amanah wakaf serta implikasi undang-undang terhadap kecuaian atau penyelewengan," katanya.

Razman berkata, insiden yang berlaku di Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu itu harus dijadikan iktibar kolektif demi memastikan institusi wakaf terus dihormati, dilindungi dan dimartabatkan mengikut lunas perundangan syariah dan sivil.

Tambah beliau, pihaknya menyambut baik tindakan kerajaan negeri menerusi inisiatif membeli semula tanah masjid bernilai RM1.8 juta daripada pemilik bukan Islam melalui dana kutipan solat Jumaat seluruh negeri.

"Langkah ini merupakan salah satu manifestasi keprihatinan umat Islam terhadap maruah institusi masjid dan perpaduan umat Islam di negeri Perak.

"Kami juga mencadangkan agar inisiatif sumbangan ini diluaskan dengan penglibatan aktif entiti seperti Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan badan korporat Islam melalui sumbangan wakaf tunai sebagai solidariti bersama terhadap kepentingan wakaf," katanya.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Perak itu berkata, pihak pembangkang bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam membina sistem wakaf yang lebih berdaya tahan, telus dan lestari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!