Suami isteri maut rancang kenduri tahlil bapa hujung Mei ini

PADANG RENGAS – Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan motosikal di Kilometer 64, Jalan Ipoh-Taiping di sini pada Selasa, difahamkan sudah merancang untuk mengadakan kenduri tahlil arwah bapa mereka pada hujung Mei ini.
Wan Aniza Nora Wan Abd Kadir, 54, berkata, kakak iparnya, Harirah Mahmud @ Abdul Samad, memaklumkan hasrat untuk berkumpul bersama adik-beradik dan mengadakan kenduri arwah bapa mereka yang meninggal dunia pada 11 April lalu.
“Harirah anak sulung daripada empat beradik, jadi dia memang banyak uruskan hal keluarga.
“Dia ada beritahu mahu buat kenduri untuk kumpulkan semua adik-adiknya dan bincang hal pusaka pada 31 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, Harirah bersama suaminya, Amir Sharifuddin Md Zahari, 68, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan dari arah bertentangan.
Wan Aniza Nora berkata, nahas berlaku ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Padang Rengas selepas menguruskan hal berkaitan sawit di pusat pengumpulan sawit (REM) di Matang, Taiping.
Katanya, arwah sepatutnya singgah di kediamannya di Pokok Assam sebelum pulang, namun penantiannya dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua mangsa.
“Bila sudah jam 12 tengah hari, saya fikir mungkin mereka balik terus ke rumah sebab biasanya kakak dan abang akan ambil cucu dari sekolah.
“Terkejut apabila diberitahu mereka kemalangan ketika menunggang motosikal.
“Biasanya mereka naik kereta kalau datang ke sini. Tapi semalam, entah kenapa naik motosikal pula,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir berjumpa pasangan itu ialah minggu lalu ketika menghadiri majlis pengebumian sepupu mereka di Pulau Pinang.
“Kami masih bersedih. Tak sangka selepas bapa mentua dan sepupu, kakak ipar dan suami pula tinggalkan kami,” katanya.
Jenazah pasangan suami isteri yang berasal dari Batu 16, Padang Rengas itu disembahyangkan di Masjid Al-Hadhari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang di sini selepas solat Maghrib pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

