Bekalan elektrik tiga premis judi haram dipotong

KLUANG - Bekalan elektrik di tiga premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram di sekitar daerah ini telah dipotong dalam satu operasi bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, operasi yang dijalankan antara jam 10.45 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dengan kerjasama dua anggota TNB Kluang.
Menurutnya, hasil risikan dan pemantauan mendapati ketiga-tiga premis terbabit terlibat dalam aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen serta perjudian dalam talian melalui kaedah tambah nilai.
“Sebagai tindakan susulan, pihak polis bersama TNB telah melaksanakan Operasi Pemotongan Bekalan Elektrik di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 ke atas semua premis yang dikenal pasti.
“Tindakan tegas ini merupakan salah satu usaha membanteras kegiatan perjudian haram yang masih aktif dan menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan masalah itu dapat dibendung secara berkesan.
Tanbahnya, kerjasama antara agensi penguatkuasaan seperti TNB amat penting bagi memastikan tindakan yang diambil memberi kesan langsung kepada operasi premis yang terlibat.
“Polis menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki wujud sebarang kegiatan perjudian di kawasan masing-masing.
“Maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

