[VIDEO] Dua pegawai PBT direman kes rasuah RM54,000
GEORGE TOWN – Dua pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan wang berjumlah RM54,000.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, di sini, pada pagi Rabu.

Kedua-dua suspek yang berpakaian lokap dan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.49 pagi untuk mendapatkan perintah reman.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua pegawai berkenaan yang masing-masing berusia 35 dan 62 tahun, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pada jam 2.30 petang, Selasa.

“Kedua-dua suspek didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang penjaja sebagai balasan untuk membuat permohonan lesen penjaja sementara sempena Tahun Baru Cina pada tahun lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

