Malaysia anjur ICC2025 sebagai platform teknologi strategik serantau

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ICC2025, Tunku Datuk Nooruddin (tengah) bersama antara ahli jawatankuasa penganjur pada sidang media ICC2025 yang berlangsung Selasa. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ICC2025, Tunku Datuk Nooruddin (tengah) bersama antara ahli jawatankuasa penganjur pada sidang media ICC2025 yang berlangsung Selasa. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

MEMASUKI era di mana infrastruktur digital menjadi tunjang ketahanan ekonomi dan pengaruh geopolitik, Malaysia bakal menganjurkan Persidangan & Ekspo Kesalinghubungan Antarabangsa (ICC2025) pada 23-24 Jun 2025 di Connexion CEC, Kuala Lumpur.

Persidangan anjuran bersama oleh Pusat Penyelidikan Madani dan GSATT Sdn Bhd dengan Rosenberger dari Jerman sebagai salah satu penaja Platinum, bakal menghimpunkan penggubal dasar, saintis dan pemimpin industri dari sekurang-kurangnya 10 buah negara termasuk Amerika Syarikat.

Ia bertujuan meneroka bagaimana teknologi yang dahulunya dilihat secara berasingan iaitu kesalinghubungan, kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum, keselamatan siber dan Internet Kebendaan (IoT) kini bergabung dalam satu ekosistem digital yang bersepadu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ICC2025, Tunku Datuk Nooruddin, zaman kini telah melangkaui era inovasi tunggal.

“Persoalan sebenar ialah bagaimana kita mentadbir kesepaduan teknologi ini demi kepentingan awam. Itulah tujuan utama ICC2025," katanya pada sidang media ICC2025 pada Selasa.

Tambah beliau, selain menjanjikan potensi besar, ICC2025 turut membawa cabaran kompleks dalam aspek tadbir urus, kebolehoperasian dan ketahanan jangka panjang.

Sementara itu, Pengerusi GSATT Sdn Bhd, Lee Shen Chieng berkata, ICC2025 merupakan platform terbaik bagi menyalurkan informasi terkini antaranya tentang kuantum dan AI terutama dalam mendepani perlumbaan ke arah masa depan digital yang tahan lasak.

"ICC2025 bertindak sebagai satu platform penting untuk perbincangan masa depan digital negara dan semua pihak berkepentingan harus memanfaatkan persidangan ini dengan sebaiknya," katanya.

Persidangan tersebut dijangka akan meneliti evolusi rangkaian daratan (terrestrial), mudah alih dan orbit yang diperlukan bagi menyokong sistem digital yang selamat dan autonomi.

Artikel Berkaitan:

Ia juga akan menyerlah peralihan kepada kriptografi pasca kuantum dan QKD, serta implikasi meluas AI dan automasi terhadap keupayaan institusi dan kestabilan sosial.

Turut diberi perhatian, penggabungan IoT dan kepintaran masa nyata dalam sektor kesihatan, bandar pintar dan sistem tenaga akan dibincangkan dari segi peluang serta risiko sistemik.

Dalam pada itu, bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, ICC2025 sekali gus mencerminkan hasrat negara untuk menjadi peneraju dan bukan sekadar pengikut dalam menentukan hala tuju digital rantau ini.

Menariknya, persidangan yang julung kali diadakan ini turut mendapat sokongan rasmi daripada Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan.

ICC2025 yang bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Fadillah Yusof turut memberi penghormatan kepada Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih, yang mana legasi inovasinya terus membimbing hala tuju strategik Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!