Karangkraf sumbang lebih 2,000 buku pelbagai judul

Normah Hanum (tengah) menyempurnakan perasmian penutup Program Dekad Membaca dan Bacaton Peringkat Daerah Kuala Kangsar di SK Kampung Nasib semalam.
Normah Hanum (tengah) menyempurnakan perasmian penutup Program Dekad Membaca dan Bacaton Peringkat Daerah Kuala Kangsar di SK Kampung Nasib semalam.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sekolah-sekolah rendah di daerah Kuala Kangsar menerima lebih 2,000 buku pelbagai judul daripada Kumpulan Karangkraf.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Safuan Raba'ai berkata, sumbangan itu diberikan sempena penganjuran Program Dekad Membaca dan Bacaton Peringkat Daerah Kuala Kangsar.

Beliau berkata, buku-buku yang disumbangkan itu dapat dimanfaatkan oleh 33 sekolah rendah yang terlibat di dalam program tersebut.

"Sumbangan tersebut sangat memberi manfaat kepada murid di daerah Kuala Kangsar. Selain dapat menyuburkan budaya membaca dalam kalangan murid, ia juga memberi peluang kepada murid untuk meneroka maklumat melalui buku-buku tersebut melalui pembacaan.

"Murid-murid di daerah ini amat memerlukan buku. Inisiatif yang dilakukan Karangkraf ini merupakan suatu inisiatif yang sangat hebat dan bermakna," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Dekad Membaca dan Bacaton Peringkat Daerah Kuala Kangsar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nasib di sini semalam.

Majlis penutup program tersebut disempurnakan Pengerusi Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim dan dihadiri Guru Besar SK Kampung Nasib, Siti Sapura Abu Bakar.

Semua tetamu jemputan dan murid-murid yang terlibat merakam kenangan selepas tamat majlis penutupan program tersebut.
Semua tetamu jemputan dan murid-murid yang terlibat merakam kenangan selepas tamat majlis penutupan program tersebut.

Sementara itu, Normah Hanum dalam ucapan perasmiannya berkata, masyarakat di negara ini masih kurang minat membaca.

Artikel Berkaitan:

Katanya, minat membaca dalam kalangan masyarakat perlu dipupuk sejak kecil dengan menggalakkan anak-anak menjadikan buku sebagai kawan mereka.

"Membaca ini perlu dijadikan sebagai hiburan. Ajar anak-anak kita untuk pegang buku setiap hari dan bawa sahaja ke mana-mana. Lama kelamaan daripada pegang buku mereka akan baca buku.

"Pengalaman saya, anak-anak yang cintakan bukan tak akan bagi masalah kepada ibu bapa," katanya ketika berucap di hadapan murid-murid dan semua guru yang hadir.

Normah Hanum berkata, pertubuhannya kini sedang menjalankan kempen Membaca Bersama Ibu dengan menggalakkan ibu bapa duduk bersama anak setiap hari membaca buku.

Katanya, melalui program itu, anak-anak akan timbul minat membaca selain ibu bapa dapat mengetahui perkembangan anak-anak mereka.

Pada majlis tersebut gimik penyerahan buku sumbangan Kumpulan Karangkraf disempurnakan Ketua Wartawan Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad kepada Safuan.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program tersebut antaranya, Bengkel Penulisan, Bengkel Rakaman Berita, pameran dan pelbagai lagi.