Pesara kerajaan rugi lebih RM82,000 ditipu TikTok Shop palsu

Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sehingga membuatkannya yakin dan meneruskan transaksi tanpa menyedari telah ditipu. Gambar kecil: Azamuddin
Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sehingga membuatkannya yakin dan meneruskan transaksi tanpa menyedari telah ditipu. Gambar kecil: Azamuddin
A
A
A

BESUT - Seorang pesara kerajaan kerugian sebanyak RM82,600 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan peluang perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi 'TikTok Shop'.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa telah diperdaya untuk membuka kedai dalam talian menggunakan aplikasi tersebut.

Menurutnya, mangsa berusia 67 tahun itu mendakwa menjadi mangsa penipuan melalui Facebook untuk membuka akaun perniagaan di TikTok Shop.

"Mangsa telah diminta menghantar salinan kad pengenalan dan gambar swafoto kononnya untuk tujuan pendaftaran.

"Setelah ‘kedai’ itu diwujudkan, mangsa dikehendaki memasukkan modal permulaan bagi memulakan perniagaan tersebut dan telah membuat 13 transaksi berjumlah RM82,600 daripada wang simpanannya ke tujuh akaun bank berbeza,” katanya di sini pada Selasa.

Menurutnya, pada peringkat awal, mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sehingga membuatkannya yakin dan meneruskan transaksi tanpa menyedari telah ditipu.

"Mangsa tampil membuat laporan polis pada Isnin setelah menyedari ditipu dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pelaburan tanpa merujuk dan mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Gunakan platform Semak Mule yang disediakan oleh pihak polis untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon sebelum membuat sebarang transaksi.

Artikel Berkaitan:

"Jangan buat keputusan sendiri. Sebaiknya rujuk atau bertanya kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terlebih dahulu sebelum mempercayai sebarang tawaran yang diperoleh secara dalam talian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!