[VIDEO] Keselamatan MALBATT 850-12 di Lubnan terkawal, langkah kontingensi dipertingkat
JOHOR BAHRU - Keselamatan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang kini bertugas di Lubnan dilaporkan berada dalam keadaan terkawal meskipun ketegangan terus memuncak di rantau berkenaan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan dengan melaksanakan langkah-langkah kontingensi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Dari segi keselamatan, keadaan dilaporkan stabil. Namun, kita sentiasa mengingatkan anggota agar berwaspada dengan melaksanakan langkah-langkah kontingensi seperti penyediaan kubu pertahanan (bunker).
“Apa yang dibimbangkan ialah tindakan di luar kawalan oleh pihak yang bertelagah, yang mungkin menembak ke kawasan tugasan kita. Tetapi Alhamdulillah, setakat ini belum ada insiden berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Panglima Tentera Darat dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama keluarga MALBATT 850-12 di Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja, Ulu Tiram, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenyataan itu susulan tindakan terbaru oleh tentera Israel yang melanggar genjatan senjata dengan melancarkan serangan ke selatan Lubnan baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan akan pulang secara berperingkat menjelang November ini dan bakal digantikan oleh pasukan MALBATT 850-13 yang turut melibatkan satu platun dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
“Pasukan pengganti dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang akan mula dikumpulkan pada Jun untuk menjalani Latihan Integrasi Daya (Force Integration Training) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Dari segi kekuatan, bilangan anggota kekal seramai 850 termasuk penyertaan anggota dari Brunei. Penubuhan unit ini akan dilakukan dalam masa terdekat, termasuk pemilihan komander dan pegawai staf,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
