Tular tunggang kenderaan mikromobiliti ubah suai, polis panggil Youtuber Isa Isarb

Tangkap layar rakaman video tular yang memaparkan tiga lelaki menunggang kenderaan mikromobiliti diubah suai.
Tangkap layar rakaman video tular yang memaparkan tiga lelaki menunggang kenderaan mikromobiliti diubah suai.
A
A
A

MELAKA – Polis telah memanggil YouTuber terkenal Isa Isarb selepas tular tindakannya didakwa melanggar undang-undang menunggang kenderaan mikromobiliti yang diubah suai pada Ahad.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata, individu berusia 27 tahun itu dipanggil susulan pihaknya mengesan video berdurasi 22 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok kira-kira jam 11.50 pagi Isnin.

Menurutnya, siasatan yang dilakukan mendapati, kenderaan mikromobiliti (Elektrik Bike) itu telah diubah suai selain dipasang bumbung yang ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng lelaki di Lampu Isyarat Lee Rubber Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ).

"Kita telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa Isarb yang dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti itu.

"Malah polis juga telah menghubungi Isa dan dimaklumkan beliau kini berada di Sabah atas urusan perniagaan hingga Jumaat minggu depan (16 Mei)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Jelasnya, individu itu telah diminta untuk hadir ke Pejabat Penguatkuasa Polis Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan dan dia mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini.

"Kenderaan yang tular itu termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti.

"Penggunaannya di atas jalan raya awam adalah dilarang di bawah Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021," ujarnya.

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pengarahnya, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, pihaknya telah mengambil maklum berkaitan satu video tular berdurasi 18 saat yang memaparkan tiga individu dipercayai menaiki kenderaan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!