Badan tinggal separuh ditemui, lelaki hilang lima hari dipercayai dibaham buaya

SIPITANG - Seorang lelaki yang hilang sejak lima hari lalu ditemukan dalam keadaan mengerikan apabila badannya tinggal separuh sahaja, dipercayai dibaham buaya di Sungai Mengalong di sini, pada Isnin.
Punggut Madin, 52, ditemui oleh penduduk kampung pada jam 12.20 tengah hari iaitu kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari kelima selepas laporan menyatakan mangsa dikhuatiri lemas pada Khamis lalu.
Menurutnya, pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain dan orang awam telah menjalankan SAR dengan menyusuri sungai sejauh lapan kilometer menggunakan bot.
"Kira-kira jam 12.20 tengah hari, mayat mangsa ditemui oleh penduduk namun dalam keadaan tidak sempurna iaitu dari bahagian pinggang hingga kaki.
"Pasukan bomba menerbangkan dron untuk memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum memasuki anak sungai bagi mengesahkan penemuan dan seterusnya mengambil mayat tersebut dari lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Tambah Calvin lagi, pencarian susulan separuh lagi anggota badan mangsa ada dilakukan bersama agensi penyelamat lain dan penduduk kampung tetapi setakat ini tidak menemui apa-apa.
"Kita mengesyaki keadaan badan mangsa yang tidak sempurna dipercayai akibat dibaham buaya," katanya.
Susulan penemuan tersebut, Calvin berkata, operasi SAR ditamatkan pada jam 2.30 petang selepast mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum itu, mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya ketika mereka sedang menarik pukat dan ada saksi menyatakan dia disambar buaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
