Pembekal tudung buka ruang berbincang dengan Fazura berkait kes hutang RM4.65 juta

SYARIKAT pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd yang juga pemilik kilang Feline Malaysia, mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd milik pelakon dan usahawan wanita terkenal, Nur Fazura Sharifuddin berhutang hampir RM4.65 juta.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Obor Holding, Lim Boon Hai atau lebih dikenali sebagai Sam, berkata pihaknya telah berusaha sejak Disember 2023 untuk mendapatkan bayaran tersebut, namun masih belum berhasil.
Menurut Sam, pihak Fazura telah memberikan cek berjumlah RM1 juta pada 3 September 2024, tetapi cek tersebut ditolak kerana tidak mencukupi dana (cek tendang).
“Pihak kami telah membekalkan tudung bernilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022. Namun, sehingga kini, syarikat berkenaan hanya menjelaskan bayaran sebanyak RM2,680,167.90 dan masih berhutang RM4.65 juta sejak Disember 2023," katanya kepada Sinar Harian.
Sam juga menjelaskan bahawa pihaknya telah cuba menghubungi pihak Fazura tetapi tidak mendapat kerjasama yang baik. Tambahnya, isu ini telah memberi kesan negatif terhadap status kewangan syarikat.
Sehubungan itu, Obor Holding telah mengambil keputusan untuk menfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April lalu selepas setahun berusaha menyelesaikan masalah hutang tersebut.
Namun, Sam menyatakan bahawa beliau masih membuka ruang perbincangan dengan pihak Fazura dan berharap syarikat berkenaan dapat melunaskan hutang yang tertunggak.
“Tujuan kami mendedahkan perkara ini bukan kerana mahu membalas dendam, tetapi untuk mendapatkan hak kami yang sepatutnya. Kami masih berharap pihak Fazura akan berbincang dengan kami dan melunaskan hutangnya,” jelas Sam.
Setakat ini, usaha untuk menghubungi Fazura masih belum berhasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


