Kebangkitan semula Streeto Pizza

Aiman mula menjual piza di pasar malam sejak 2014.
Aiman mula menjual piza di pasar malam sejak 2014.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pernah mencipta nama dalam industri makanan tempatan dengan membuka lima cawangan restoran piza di kawasan utara, namun kini terpaksa menelan kepahitan apabila empayar perniagaannya runtuh dan dibebani hutang mencecah RM3 juta.

Itulah yang terpaksa ditempuhi Aiman Azhar, 34, apabila jenama Streeto Pizza yang diusahakan sebelum ini diduga dengan kegagalan berikutan kesilapan percaturan dalam strategi perniagaan.

Aiman kini bangkit semula dengan mengusahakan perniagaan piza di halaman rumahnya di Taman Sutera Prima, Seberang Jaya.
Aiman kini bangkit semula dengan mengusahakan perniagaan piza di halaman rumahnya di Taman Sutera Prima, Seberang Jaya.

Aiman yang lebih dikenali sebagai AbangStreeto di aplikasi TikTok berkata, dia mula mengusahakan perniagaan piza di pasar malam pada 2014 sebelum perniagaannya berkembang dalam tempoh beberapa tahun.

Namun menurutnya, ke-jayaan awal itu tidak bertahan lama apabila perniagaannya mula menunjukkan tanda-tanda kelembapan sehingga ca-wangan restorannya mula ditutup satu per satu pada 2023.

“Antara punca utama kegagalan perniagaan kerana kurangnya ilmu dalam bidang pengurusan, kegagalan mengekalkan kualiti produk dan tidak mampu menguruskan hampir 100 orang kakitangan ketika perniagaan sedang berkembang.

“Saya terlalu fokus pada pembukaan cawangan baharu tanpa memastikan operasi sedia ada benar-benar kukuh,” katanya kepada Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Anak jati Pendang, Kedah yang juga graduan jurusan Kejuruteraan Elektrikal dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra itu berkata, selepas perniagaan-nya gulung tikar, dia mengalami kemurungan beberapa bulan dan buntu dengan masa depan yang dihadapi.

Menurut Aiman, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk kembali mengumpulkan semangat dan bangkit daripada kegagalan.

Artikel Berkaitan:

“Saya murung, hampir tiga bulan saya tak keluar rumah, malah dengar nama piza pun saya tak boleh. Saya cuba pelbagai perniagaan lain tapi semuanya gagal.

“Akhirnya saya jual semua aset dan hanya tinggal RM1,500 terakhir dalam simpanan. Dari situlah saya mulakan semula empayar Streeto Pizza walaupun hanya bermula dari rumah,” kongsi bapa kepada empat cahaya mata itu.

Aiman (tengah) bersama pasukannya yang masih setia hingga kini bersama Streeto Pizza.
Aiman (tengah) bersama pasukannya yang masih setia hingga kini bersama Streeto Pizza.

Tahun kebangkitan

Ditanya kekuatannya untuk terus bangkit, Aiman menjelaskan, keluarga dan pasukan menjadi motivasi utamanya.

“Kalau saya mengalah, bagaimana dengan keluarga dan staf saya yang masih setia? Siapa nak sara mereka? Saya tak ada pilihan.

“Saya kena cari jalan sendiri. Kalau kerja makan gaji, siapa nak bayar gaji saya untuk saya lunaskan segala hutang yang ada,” katanya.

Menurut Aiman, pengalaman lalu banyak memberi pengajaran buatnya untuk lebih bersiap sedia menempuh cabaran perniagaan masa kini.

Salah satu cawangan restoran Streeto Pizza yang diusahakan Aiman sebelum ini.
Salah satu cawangan restoran Streeto Pizza yang diusahakan Aiman sebelum ini.

Malah, dia juga tekad untuk bangkit walaupun perlahan tetapi dengan fokus dan misi lebih jelas.

“2025 akan jadi tahun kebangkitan semula Streeto Pizza. Kami akan tampil dengan standard dan kualiti lebih tinggi daripada sebelum ini yang pasti memberikan cita rasa berbeza.

“Orang ramai yang ingin mencuba pelbagai hidangan istimewa Streeto Pizza bolehlah datang di gerai jualan kami di Taman Sutera Prima yang dibuka bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!