Polis kenal pasti suspek kes gaduh di restoran nasi kandar

KUALA LUMPUR - Polis telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam kes pergaduhan dua kumpulan lelaki di sebuah restoran nasi kandar di Bangsar di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Kita telah mengenal pasti dan sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan, setakat ini tiada tangkapan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Ahad, media melaporkan pergaduhan antara dua kumpulan itu mencetuskan kekecohan hingga menyebabkan kerugian lebih RM5,000.
Ku Mashariman berkata, kejadian pergaduhan kira-kira jam 5.40 pagi itu membabitkan kira-kira lapan hingga 10 lelaki.
Akibat pergaduhan tersebut, cermin kaunter makan dan hiasan al-Quran pada dinding pecah serta beberapa meja makan mengalami kerosakan.
Ku Mashariman berkata, pelanggan pada masa itu juga tidak membayar bil makan sebanyak RM1,000 kerana melarikan diri akibat ketakutan.
Kejadian berpunca akibat seorang wanita daripada salah satu kumpulan diganggu oleh kumpulan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!