2,474 bekas ahli GISBH jalani pemulihan akidah hingga Ogos

RAWANG - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan program pemulihan akidah terhadap 2,474 bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melibatkan 1,064 dewasa dan 1,410 kanak-kanak menerusi program Insan Rabbani.
MAIS memaklumkan, program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bermula 15 Februari lalu hingga Ogos 2025 itu memberi fokus terhadap proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH.
Menurutnya, ia meliputi beberapa fasa seperti pemulihan, pemantapan dan pengukuhan yang mana masing-masing berjalan selama enam bulan diikuti pemantauan menerusi peringkat pasca pemulihan serta pemantauan dan khidmat sokongan.
“Sehingga kini, MAIS telah melaksanakan program pemulihan akidah bagi kanak-kanak GISBH pada September hingga Disember 2024 yang lalu melibatkan kanak-kanak GISBH di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Selain itu, MAIS bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menganjurkan program Rehabilitasi Secara Sukarela Ahli GISBH membabitkan seramai tujuh peserta dari Selangor dan 11 dari Johor pada 7 November 2024 hingga 4 Februari lalu” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah MAIS, pihaknya berharap agar program pemulihan itu dapat memberi ruang kepada ahli GISBH untuk bertaubat secara sukarela dan memulihkan akidah dari fahaman yang menyeleweng dan kembali kepada akidah ahli sunnah wal jamaah.
Dalam pada itu, menurutnya, MAIS turut menganjurkan Majlis Ramah Mesra Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin Bersama peserta program Insan Rabbani 2025 di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Country Homes, Rawang pada Ahad.
Sementara itu, dalam majlis sama, MAIS turut menyampaikan simbolik serahan bantuan fidyah sebanyak 350 kotak makanan kering bernilai RM77,700.00 kepada penerima yang memerlukan.
“Daripada 350 kotak makanan kering, sebanyak 200 kotak diagihkan kepada penerima melalui SRA Bandar Country Homes, Rawang dan masing-masing 50 kotak melalui SRA Sijangkang, SRA Sungai Kantan dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
“Kotak makanan kering berupa set makanan asasi seperti beras, minyak masak, bihun, gula, tepung gandum, kicap manis dan susu pekat manis,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
