'Orang kata duduk Kelantan semua murah, itu dulu'

KELANTAN – Pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan belum cukup selesa untuk mereka yang tinggal di sini walaupun Kelantan dilabel sebagai negeri berkos sara hidup rendah di Malaysia.
Menurut seorang promoter jualan, Firdaus Hamzah, 24, dia masih perlu melakukan kerja sampingan serta kerja lebih masa untuk mendapatkan duit tambahan.
"Orang kata duduk di Kelantan semua murah, itu dulu. Sekarang sama sahaja dengan negeri lain.
"Perbelanjaan bulanan saya dan isteri paling banyak digunakan untuk makanan, di mana kami belanjakan RM50 sehari.
“Jika hujung bulan, kami bawa bekal nasi serta air manis yang dikacau dari rumah, manakala lauk dibeli di kedai," kata bapa kepada seorang anak berusia dua bulan itu.
Menurut Firdaus, pada hari Jumaat, dia sanggup mengorbankan waktu cuti untuk mengambil upah memasang serta mengemas khemah di pasar minggu Wakaf Bharu dengan kadar upah RM50.
Selain itu, isterinya juga bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM1,700.
"Kami masih beruntung kerana tinggal bersama keluarga. Di rumah, saya serta isteri dan anak tinggal bersama ayah mentua termasuk tiga adik ipar di Kampung Padang Mandol, Tumpat.
"Untuk lebih berjimat, kami berkongsi kereta ke tempat kerja. Bayaran bulanan kereta sekitar RM680 sebulan iaitu untuk kereta jenis Persona, selebihnya untuk duit minyak," katanya.
Ujar Firdaus, tidak lama lagi mereka perlu menyediakan upah pengasuh sebanyak RM500 sebulan, belum termasuk susu serta lampin pakai buang.
Dia berkata, boleh dikatakan bahawa dengan keseluruhan gaji mereka suami isteri sekitar RM3,400 termasuk kerja sampingan dan lebih masa, masih belum cukup untuk hidup dengan selesa di Kelantan.
Menurutnya, itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan dapur, dana kecemasan serta sumbangan bulanan kepada ibu bapa sekitar RM300 atau lebih mengikut keadaan.
Firdaus memberitahu, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara sekarang serta harga barangan yang serba naik, dia dan isteri memilih untuk sentiasa berjimat cermat.
"Ada yang hendak dibeli, kami selesa mengamalkan sikap 'ukur baju di badan sendiri'," katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Faizah Mustafa, 37, dari Pendang, Kedah, memberitahu biarpun dia dan suaminya merupakan kakitangan awam, namun pendapatan mereka masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan keluarga.
Ibu kepada lima anak berusia tiga hingga 14 tahun itu berkata, perbelanjaan di luar bandar adalah sama seperti di bandar kerana masing-masing memerlukan komitmen yang tinggi setiap bulan.
"Saya dan suami bekerja. Kalau ikutkan bayaran pengasuh, ansuran rumah dan kereta sahaja sudah hampir RM3,000. Itu belum masuk lagi yuran pengangkutan anak ke sekolah, tuisyen, mengaji, susu dan lampin pakai buang.
“Pendapatan yang ada tidak mencukupi, terpaksa berniaga pakaian secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan, seminggu sekali pada hari cuti.
"Kalau fikirkan memang letih kerana hari cuti sepatutnya untuk berehat, tetapi apabila memikirkan keperluan anak-anak, hendak bawa mereka jalan-jalan, kena cari duit sampingan dan sedikit sebanyak bantu suami," katanya.
Faizah bersetuju sekiranya elaun sara hidup diberikan sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Saya tinggal di Pendang (luar bandar) tetapi bekerja di Alor Setar (bandar), mengambil masa kira-kira 30 minit.
“Jarak perjalanan suami ke tempat kerja iaitu di daerah berlainan walaupun kedua-duanya berada dalam kawasan luar bandar, mengambil masa kira-kira 45 minit dan agak jauh. Kalau ikutkan, kos ulang-alik juga tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
