Fasha Sandha kini berhijab, akui belum cukup sempurna

PERKONGSIAN aktres cantik, Fasha Sandha memakai hijab sejak 31 Disember lalu telah menarik perhatian ramai peminat.
Biarpun bukan pertama kali berbuat demikian, ramai yang menebak aktres berusia 40 tahun itu sudah memilih untuk tampil bertudung sepenuhnya.
Bahkan tidak kurang yang mendoakan isteri kepada aktor Aidil Aziz itu terus istaqamah dalam menutup aurat.
Malah kemunculan Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan di di majlis pengiktirafan Nona Superwoman Award 2024 pada 8 Januari lalu, telah menarik perhatian ramai.
Pastinya pihak media tidak melepaskan peluang untuk mendekati ibu kepada tiga orang cahaya mata itu bagi mendapatkan pengesahan mengenai imej baharunya itu.

Ramah dan tersenyum manis seperti kebiasaannya, Fasha yang mesra dengan panggilan Girl dalam kalangan teman media memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Namun dalam masa sama, beliau meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga.
“Saya seorang manusia yang tidak layak bercakap hal-hal berkaitan agama, kerana belum cukup sempurna dan masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk bercakap hal kebaikan.
“Saya tidak mahu komen lanjut (mengenai imej bertudungnya), cuma mohon beri ruang dan doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga," katanya yang enggan menafikan mahupun mengiyakan perubahan itu dibuat sempena tahun baharu 2025.
Suaminya yang ketika itu setia berada di sisi juga mengharapnya yang terbaik buat cinta hatinya itu.
“Doakan yang terbaik untuk Fasha. Sebagai suami mestilah saya mahukan yang terbaik,“ ujarnya ringkas.
Sementara itu, berkongsi perasaannya menerima anugerah Nona Superwoman Award 2024 bagi kategori Nona Fashion & Beauty, Fasha berkata, beliau amat teruja kerana trofi itu disampaikan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Ujar bintang Anak Mami Kembali itu, beliau rasa disayangi kerana mendengar kata-kata semangat dan menggembirakan daripada Tengku Permaisuri Norashikin.

“Apa Tengku Permaisuri cakap biarlah rahsia, tetapi saya rasa sangat teruja bertemu Tengku Permaisuri,“ katanya teruja.
Tambah Fasha, beliau sangat terharu apabila dianugerahkan pengiktirafan yang besar oleh Nona dan berharap trofi itu akan memberi inspirasi untuk terus berjaya.
“Bagi saya, jadi wanita tidak boleh lemah. Kalau kita mahu bertemu pelangi jangan takut bertemu hujan.
“Paling penting, jangan takut jadi wanita yang kuat dan bekerjaya, agar kita tidak mudah ditindas,“ tuturnya.
Impian 2025
Dalam pada itu, ditanya harapan dan perancangannya untuk tahun ini, Fasha berkata, selain impikan masa lebih bersama keluarga, beliau juga merancang untuk kembali ke dunia perniagaan.
Jelas Fasha, beberapa bulan sebelum pandemik Covid-19 melanda Malaysia, beliau terpaksa menutup perniagaan salon rambut miliknya selepas lapan tahun beroperasi kerana pemilik asal bangunan mempunyai perancangan untuk membuat farmasi.

“Beberapa bulan selepas tutup perniagaan, pandemik pun melanda. Mungkin ALLAH nak pelihara saya daripada menangung kerugian.
“Jadi saya terfikir untuk buka semula perniagaan tersebut kerana saya sangat sayangkan salon berkenaan. Insya-ALLAH kalau ada rezeki, saya akan kekalkan nama salon cuma lokasi sahaja berubah,“ jelasnya lagi.
Dalam masa sama, kerjaya lakonannya berjalan seperti biasa dan Fasha akan kembali ke set penggambaran pada 23 Januari depan untuk sebuah drama yang akan ditayangkan pada Syawal pertama nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

