Tragedi PPR Batu Muda: UMNO Wilayah Persekutuan cadang jumpa keluarga mangsa

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim bercadang meluangkan masa bertemu dengan ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul, Isnin lalu.
Menurut Gulam Muzaffar, pertemuan itu bertujuan memahami lebih lanjut kisah sebenar di sebalik kejadian menyayat hati yang meragut nyawa kanak-kanak itu.
"Hari ini saya berpeluang berjumpa dengan salah seorang ahli keluarga kes kanak-kanak yang terjatuh dan meninggal dunia di PPR Batu Muda pada 21 April lepas.
"Insya-ALLAH, saya akan meluangkan masa untuk mendengar sendiri dari ibu bapa mangsa berhubung kejadian yang menyayat hati ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Mangsa dilaporkan sedang bermain bersama adik-beradiknya di kawasan lapang berhampiran rumah sebelum ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di bawah Blok C.
Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.
Tambah Gulam Muzaffar, beliau turut terkesan apabila mengetahui bahawa ibu bapa mangsa pernah menerima bantuan untuk berniaga.
"Saya amat terkejut bila mendapat tahu bapa dan ibu kanak-kanak tersebut adalah penjaja pasar malam di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kuching yang pernah saya bantu berniaga untuk menyara hidup mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

