Lelaki bunuh kanak-kanak Palestin-Amerika dihukum penjara 53 tahun

Joseph Czuba didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama, cubaan membunuh, serangan fizikal teruk dan jenayah kebencian. Foto AFP
Joseph Czuba didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama, cubaan membunuh, serangan fizikal teruk dan jenayah kebencian. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki di negeri Illinois, Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara 53 tahun pada Jumaat atas serangan bermotifkan kebencian pada 2023 yang mengorbankan Wadee Alfayoumi, 6, seorang kanak-kanak Palestin-Amerika, lapor Anadolu Ajensi (AA) yang memetik laporan media tempatan.

Ibu kanak-kanak itu, Hanan Shaheen, turut ditikam dalam serangan berkenaan.

Joseph Czuba, 73, didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama, cubaan membunuh, serangan fizikal teruk dan jenayah kebencian setelah menyerang keluarga Palestin-Amerika itu beberapa hari selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, menurut laporan NBC News.

Shaheen memberi keterangan bahawa Czuba memberitahunya "kaum kamu” membunuh orang Yahudi dan bayi di Israel, serta mengatakan umat Islam tidak dialu-alukan di rumahnya.

Satu-satunya saksi pendakwaan, bapa saudara kepada Wadee, Mahmoud Yousef berkata, kematian kanak-kanak itu menghancurkan harapan dan impian keluarga mereka.

"Apa pun hukuman yang dijatuhkan, ia tetap tidak setimpal,” katanya seperti dilaporkan.

Czuba tidak memberikan sebarang kenyataan semasa hukuman dijatuhkan.

Dia didapati bersalah atas kes pembunuhan pada 14 Oktober 2023 di kediamannya di Plainfield, 64 kilometer barat daya Chicago, tempat keluarga mangsa menyewa dua bilik.

Pendakwa raya berkata, Czuba menyasarkan keluarga itu kerana latar belakang agama Islam mereka dan sebagai tindak balas terhadap perang Israel ke atas Semenanjung Gaza yang bermula seminggu sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sebelum ini memperingati ulang tahun pertama serangan kejam itu. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!