Boiler meletup, empat pekerja melecur
KUALA SELANGOR - Empat pekerja melecur selepas berlaku letupan melibatkan sebuah dandang stim (steam boiler) ketika kerja pembakaran sedang dilakukan di sebuah kilang sawit di sini pada pagi Sabtu.
Mangsa terdiri daripada dua lelaki warga Nepal serta masing-masing seorang lelaki dari India dan Bangladesh, berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya digerakkan ke lokasi sejauh 12 kilometer.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 9.11 pagi dan hasil laporan awal komander operasi, letupan berlaku ketika kerja pembakaran dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau memaklumkan, operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Mohammad Amirul Haqimi Abdullah bersama tiga anggota dengan satu jentera FRT.
Mengulas lanjut, katanya, mangsa yang mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
Menurut beliau, kebakaran turut dilaporkan telah padam sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Bagaimanapun, punca sebenar letupan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

