Ilmu pertahanan diri jadikan bekal setiap wanita

Wanita wajar diberi peluang dan galakan untuk mempelajari teknik keselamatan serta mempertahankan diri - Gambar hiasan (Gambar kanan: Laporan Sinar Harian berhubung seorang wanita bertindak gigit lidah remaja lelaki elak dirogol)
Wanita wajar diberi peluang dan galakan untuk mempelajari teknik keselamatan serta mempertahankan diri - Gambar hiasan (Gambar kanan: Laporan Sinar Harian berhubung seorang wanita bertindak gigit lidah remaja lelaki elak dirogol)
A
A
A

JENAYAH terhadap wanita kian membimbangkan dengan kes gangguan seksual, serangan fizikal, ragut dan penculikan dilaporkan semakin meningkat.

Terbaharu, seorang wanita berusia 25 tahun terselamat daripada cubaan rogol dalam kejadian di sebuah spa kecantikan di Batu Berendam, Melaka, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa didatangi seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang berpura-pura bertanya tentang pakej rawatan untuk ‘teman wanitanya’.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek kemudian memaklumkan kononnya teman wanitanya dalam perjalanan, sebelum tiba-tiba bertindak agresif dengan menutup mulut mangsa dan menariknya masuk ke bilik rawatan.

“Suspek dipercayai meraba mangsa hingga dia terjatuh ke lantai, lalu cuba merogolnya. Namun mangsa bertindak pantas menggigit lidah dan mencubit perut suspek sebelum menjerit kuat, menyebabkan remaja itu melarikan diri,” katanya.

Kejadian ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang betapa pentingnya wanita menguasai ilmu pertahanan diri. Bagi wanita, kebolehan melindungi diri bukan hanya memberi keselamatan fizikal tetapi juga meningkatkan keyakinan diri dalam kehidupan seharian.

Penguasaan teknik pertahanan diri seperti melepaskan diri daripada pegangan, menyerang titik lemah penyerang atau menjerit dengan berkesan boleh menjadi penentu antara selamat dan bahaya dalam situasi kritikal.

Wanita yang terlatih juga mampu melindungi anak-anak atau individu lemah daripada ancaman, menjadikan kemahiran ini lebih penting khususnya bagi ibu yang sering keluar bersama anak kecil.

Selain itu, ilmu ini membentuk kewaspadaan terhadap persekitaran, mengelakkan mereka daripada lalai menggunakan telefon bimbit ketika berjalan seorang diri atau melalui kawasan berisiko seperti lorong sunyi.

Pertahanan diri bukan sekadar seni mempertahankan diri secara fizikal, tetapi turut membina ketahanan mental dan emosi dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, wanita wajar diberi peluang dan galakan untuk mempelajari teknik keselamatan sama ada melalui kelas formal seperti silat, taekwondo, kickboxing atau kursus khas berkaitan keselamatan wanita.

Keselamatan bukan satu kebetulan, ia adalah hasil persediaan dan pengetahuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!