Eksekutif projek tidak mengaku sembunyi RM98,000

KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif projek pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menyembunyikan RM98,000 milik seorang akauntan, dua bulan lalu.
Muhammad Hazwan Wook Baharudin, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menolong menyembunyikan harta iaitu wang sebanyak RM98,000 milik seorang lelaki, Yee Feng Yi, 27, dalam akaun bank milik tertuduh di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini pada 26 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, M Saravanan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan Muhammad Hazwan merupakan mangsa tawaran kerja yang tidak wujud di Singapura.
"Dia membuka akaun bank itu kerana dijanjikan kemasukan gaji oleh agensi pekerjaan.
"Malangnya ekoran kejadian ini, dia direman lebih seminggu bagi beberapa kes sama termasuk di Kajang dan Pulau Pinang," katanya yang menambah tertuduh perlu menyara isteri dan dua anak termasuk ibu yang mempunyai penyakit tibi serta bapa yang terlantar akibat strok.
Beliau berkata, anak guamnya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan tidak menunjukkan risiko untuk melarikan diri.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

