Kerajaan disaran tangguh dahulu penyasaran RON95, rancangan naik tarif elektrik

SHAH ALAM - Kerajaan disaran agar menangguhkan rancangan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada industri tempatan menstabilkan semula operasi.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berpandangan, ekonomi global ketika ini sedang mengalami gangguan rantaian bekalan yang dijangka berlarutan tiga hingga enam bulan lagi.
Menurut ahli Parlimen daripada PKR itu, sebarang tindakan menaikkan kos operasi syarikat akan menambahkan tekanan terhadap sektor perniagaan yang sedang berdepan ketidaktentuan pasaran.
“Namun, secara asasnya kita akan melihat kelembapan dalam pengeluaran. Jadi, mungkin kita boleh mempertimbangkan idea untuk menaikkan harga minyak secara berperingkat. Mungkin berhenti dahulu, jangan tambah tekanan kepada industri, beri mereka peluang untuk bernafas.
“Kalau kita nak naikkan tarif elektrik, orang kata pada Julai, mungkin alihkan (tangguhkan) ke September, tengok dulu dan jangan panik,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi-478 bertajuk ‘Perang tarif AS: Apa kesan terburuk kepada rakyat?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu malam.
Wacana yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid dan bekas ahli ekonomi Bank Negara Malaysia (BNM), Ikmal Nordin sebagai panelis.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 10 Jun 2024.
Sebelum penyasaran, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ialah RM2.15 sebelum naik kepada RM3.35 seliter selepas tiada subsidi dan harga diapungkan.
Kerajaan seterusnya merancang untuk melaksanakan penyasaran subsidi kepada petrol RON95 pada pertengahan tahun ini. Pada ketika ini, harga RON95 bersubsidi ialah RM2.05 seliter.
Bagi elektrik pula, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan kadar tarif asas dinaikkan daripada 39.95 sen/kWj kepada 45.62 sen/kWj berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.
Namun kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan tersebut dan masih dalam proses semakan serta kajian.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan dengan sebarang perubahan kadar tarif elektrik kerana melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
