LRA Wakaf Bunut kembali beroperasi

KOTA BHARU – Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut yang sebelum ini dihenti tugas susulan pencemaran racun ikan pada 13 April lalu, telah kembali beroperasi minggu lalu.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, air mula kelihatan jernih seawal hari ketiga selepas pencemaran dikesan.
"Bagaimanapun, kita mengikut prosedur dengan menghantar sampel air untuk ujian terlebih dahulu.
"Isu ini berjaya diselesaikan dalam tempoh seminggu dan laporan menunjukkan air kini selamat digunakan, malah sungai juga bersih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kutipan Derma Bagi Membantu Mangsa Kebakaran, Tabung Aman DUN Kijang pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan terdapat gangguan kualiti air mentah akibat pencemaran di muka sauk LRA Wakaf Bunut, Pasir Puteh.
Menurut AKSB, demi keselamatan dan keperluan semakan lanjut, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengarahkan agar loji dihentikan operasinya buat sementara waktu.
Sampel air telah diambil dari Sungai Rasau berhampiran muka sauk LRA Wakaf Bunut, selain dua lagi sampel tambahan dari alur air berdekatan kolam ikan yang mengalir ke Sungai Jeram Batu Hitam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
