Putra desak Muhyiddin lantik segera menteri Kabinet

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyegerakan pelantikan menteri Kabinet membabitkan kementerian penting.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, antara kementerian penting itu adalah Pertahanan, Dalam Negeri, Kesihatan, Kewangan dan Ekonomi.

Beliau berkata, menteri-menteri lain boleh dilantik kemudian berdasarkan keperluan dan kepentingan kepada negara.

"Negara kini berdepan ancaman koronavirus (Covid-19) yang jumlahnya kian meningkat dan saya fikir Menteri Kesihatan perlu dilantik segera.

"Begitu juga kementerian yang melibatkan keselamatan seperti Kementerian Pertahanan yang menjaga tentera dan Kementerian Dalam Negeri yang menjaga polis," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, semua parti politik perlu meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu berbanding kepentingan parti masing-masing.

Katanya, kerjasama perlu diberikan kepada Perdana Menteri untuk membentuk segera Kabinet bagi memastikan perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar.

"Sudah-sudahlah berpolitik. Beri peluang Perdana Menteri buat kerja dan susun pentadbirannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai situasi politik di Perak, Hamidah yang juga bekas Exco Perak berkata, jika pembentukan kerajaan masih menemui jalan buntu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, rakyat perlu dilibatkan sekali lagi bagi menentukan kedudukan kerajaan Perak.

"Kita memerlukan kerajaan yang stabil untuk meneruskan agenda ekonomi untuk rakyat. Jadi, biar rakyat buat pilihan sekali lagi.

"Pada saya lebih baik rugi sekarang kerana terpaksa adakan pilihan raya daripada rugi dalam tempoh masa panjang kerana kehilangan pelabur," katanya.

Ahmad Faizal sehingga kini masih kekal sebagai sebagai Menteri Besar Perak dan Exco kerajaan negeri juga terus menjalan tugas seperti biasa memandangkan tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat berkenaan kedudukan kerajaan Perak selepas perubahan yang berlaku di peringkat Persekutuan.