Aziz Bari yakin PH kekal tadbir Perak

Abdul Aziz ketika ditemui media selepas Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.
Abdul Aziz ketika ditemui media selepas Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari melahirkan keyakinan Pakatan Harapan (PH) masih kekal mentadbir kerajaan Perak.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak berkata, penangguhan sidang Dewan Rakyat serta pelantikan Kabinet memberi petanda baik dalam menyebelahi PH di Perak.

"Sehingga hari ini pentadbiran Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) masih belum mengumumkan pelantikan Kabinet.

"Walaupun kita mengatakan nasib kelangsungan kerajaan negeri bergantung kepada perkembangan peringkat Persekutuan, saya yakin ia memihak kepada kita," katanya ketika ditemui pada Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berpendapat bahawa Perikatan Nasional menghadapi kesulitan dalam membentuk kerajaan.

"Saya rasa pihak Perikatan Nasional ada masalah untuk pelantikan Kabinet dan sebagainya dan ini saya fikir memberi kesan atau harapan baik kepada kerajaan Perak," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berdiam diri, Abdul Aziz yakin beliau masih bersama sebagai satu pasukan.

"Saya tidak pernah bercakap dengan beliau dan melihat kepada perkembangan semasa ini berikan harapan kepada kita, jadi saya yakin beliau bersama kita.

Artikel Berkaitan:

"Bentuk itu (kekal PH) saya tidak boleh sebut sekarang kerana ia soal kepimpinan PH. Saya melihat ada sesuatu yang kita boleh uruskan," katanya.

Katanya, keputusan Parlimen dan pelantikan Kabinet akan memberi impak akan kedudukan kerajaan negeri.