Covid-19: Berita tular semakin berleluasa

Noor Hisham. - Foto Bernama
Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tugas menangani koronavirus (Covid-19) bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi dengan penularan maklumat palsu yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan rakyat.

Sejak bermula kluster Covid-19 di negara ini, banyak maklumat dikongsi sewenang-wenangnya di media sosial tanpa usul periksa malah orang ramai mudah mempercayainya walaupun bukan daripada sumber sah.

Terbaharu, tular mesej di media sosial bahawa beberapa kawasan di ibu kota antaranya KL Sentral, Solaris Dutamas dan beberapa hospital kerajaan termasuk Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya perlu dijauhi disebabkan Covid-19.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengesahkan ia adalah mesej palsu.

Begitu juga mesej tular yang mengatakan terdapat pusat beli-belah di sekitar Putrajaya perlu dielak daripada dikunjungi turut disahkan KKM bahawa maklumat itu tidak benar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menasihati rakyat Malaysia supaya berhenti daripada menyebarkan berita palsu mengenai penularan Covid-19.

Katanya, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan berita sahih ketika berlakunya sesuatu krisis terutamanya sewaktu penularan Covid-19.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan sah daripada laman Facebook dan Twitter KKM, portal https://sebenarnya.my/ atau merujuk laporan media.

Artikel Berkaitan:

KKM turut memaklumkan sekiranya terdapat pertanyaan atau keraguan mengenai kejadian Covid-19, orang awam boleh melayari http://www.moh.gov.my (Tanya Doktor) untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan keluarga untuk tindakan seterusnya.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kebersihan peribadi seperti kerap mencuci tangan, memakai penutup mulut dan hidung sekiranya batuk dan selesema serta mendapatkan pemeriksaan di pusat perubatan berhampiran sekiranya mengalami simptom berkaitan. - Bernama