4,385 kes HFMD direkod di Sabah

KOTA KINABALU - Sebanyak 4,385 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan dari 1 Januari hingga 19 April lalu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman.
Beliau dalam kenyataan di sini malam ini berkata, 83 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.
"Lima daerah mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Kota Kinabalu dengan 705 kes, Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes) dan Tawau (262 kes).
"Kesemua kes yang dilaporkan adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar tanpa melibatkan kes di unit rawatan rapi (ICU) atau kematian,” katanya.
Dr Maria berkata, majoriti jangkitan HFMD berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika dan prasekolah, dengan 10 sekolah dilaporkan sebagai kluster.
Beliau berkata, lima daripada sekolah itu telah diarahkan tutup sepenuhnya, manakala selebihnya melibatkan penutupan sebahagian kelas tertentu bagi membolehkan siasatan lanjut serta kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.
Sementara itu, orang ramai disaran untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan kebersihan diri dan persekitaran serta mengelakkan kanak-kanak yang bergejala daripada menghadiri pusat jagaan atau tempat awam bagi mencegah penularan jangkitan. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!