ABIM cadang kelab belia di sekolah, bimbang kesan had umur baharu

Kerajaan dicadang menubuhkan kelab belia di peringkat sekolah terutama melibatkan pelajar tingkatan tiga dan ke atas bagi mengatasi krisis penyertaan golongan muda dalam pertubuhan golongan tersebut. (Gambar kecil: Ahmad Fahmi Mohd Samsudin)
Kerajaan dicadang menubuhkan kelab belia di peringkat sekolah terutama melibatkan pelajar tingkatan tiga dan ke atas bagi mengatasi krisis penyertaan golongan muda dalam pertubuhan golongan tersebut. (Gambar kecil: Ahmad Fahmi Mohd Samsudin)
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan dicadangkan menubuhkan kelab belia di peringkat sekolah, khususnya melibatkan pelajar tingkatan tiga dan ke atas, bagi mengatasi krisis penyertaan golongan muda dalam pertubuhan belia.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, usaha tersebut perlu digerakkan secara menyeluruh membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“ABIM merujuk kepada kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai penurunan mendadak penyertaan belia dalam persatuan dan pertubuhan.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa perubahan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun, yang dijadual berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2026, pasti akan memberi kesan kepada struktur kepimpinan dan penyertaan dalam pertubuhan belia.

“Apatah lagi had umur 35 tahun yang dikemukakan oleh pertubuhan belia ketika itu telah dikesampingkan, walaupun komitmen untuk menerima cadangan tersebut telah dinyatakan sebelum pindaan akta dibuat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan jumlah penyertaan belia terhadap kelab dan persatuan turun mendadak kepada sejuta sejak kebelakangan ini, berbanding 4.5 juta pada tahun 1990-an.

Hannah berkata, situasi itu didorong oleh kecenderungan belia masa kini yang tidak lagi berminat menyertai kelab dan persatuan secara fizikal.

Terdahulu, had umur belia di Malaysia yang kini ditetapkan pada 40 tahun akan dikurangkan kepada 30 tahun mulai 1 Januari 2026.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] selepas beberapa siri perbincangan antara KBS dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, proses membentuk kepimpinan dalam pertubuhan belia bukan satu perkara mudah, apatah lagi bagi persatuan yang telah berakar umbi dalam masyarakat dan diurus secara profesional.

“Bahkan majlis belia dan organisasi naungannya telah menggerakkan pelbagai aktiviti masyarakat yang terbukti berjaya menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam gejala sosial, termasuk ekstremisme berasaskan agama serta perkauman.

“Negara juga bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang perlu diadakan menjelang akhir 2027. Berdasarkan trend penurunan pembabitan golongan belia ketika ini, keadaan dijangka menjadi lebih buruk selepas 2026.

“Ini akan membuka jurang besar hingga ke akar umbi, dan masyarakat serta negara pasti akan merasai kesannya. Justeru, perkara ini wajar diberi perhatian oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB),” ujarnya.

Tambah beliau, pengaruh pengundi muda telah terbukti berkesan pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 lalu.

Justeru, beliau berpandangan bahawa pertubuhan belia wajar diberikan ruang masa untuk menyesuaikan diri sekurang-kurangnya sehingga selepas PRU16.

“Susulan penangguhan ini, ABIM dan pertubuhan belia di negara ini komited mengisi ruang pembangunan kepimpinan dan sahsiah dalam kalangan pelajar dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Dengan masa yang ada, pertubuhan belia dapat memastikan transisi kepimpinan di akar umbi dapat dijalankan dengan lebih lancar. Harus diingat bahawa pelatihan transisi bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan semata-mata.

“Inilah intipati sebenar pembangunan belia kerana ia bersifat menyeluruh dan merangkumi setiap aspek yang sering dinafikan pandangannya sehingga kini,” tegas Ahmad Fahmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!