'Bisikan' arah bakar kertas punca empat rumah terbakar

Seorang bekas banduan yang dipercayai berhalusinasi akibat pengaruh dadah bertindak membakar kertas sehingga menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan tiga rumah dan merosakkan sebahagian sebuah lagi rumah di Taman Wira, Mergong, malam Selasa.
Seorang bekas banduan yang dipercayai berhalusinasi akibat pengaruh dadah bertindak membakar kertas sehingga menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan tiga rumah dan merosakkan sebahagian sebuah lagi rumah di Taman Wira, Mergong, malam Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang bekas banduan yang dipercayai berhalusinasi akibat pengaruh dadah bertindak membakar kertas sehingga menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan tiga rumah dan merosakkan sebahagian sebuah lagi rumah di Taman Wira, Mergong, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu mendakwa terdengar bisikan suara yang mencetuskan kejadian kebakaran berkenaan.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa suara tersebut mengarahkannya membakar kertas dan meletakkannya dalam bekas plastik di dalam sebuah rumah, menyebabkan api merebak dengan pantas.

“Suspek mendakwa bahawa dia menerima ‘arahan’ untuk membakar kertas dan meletakkannya bersama bekas plastik di dalam rumah.

“Api kemudian merebak dengan cepat dan menghanguskan kediaman yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pada Rabu.

Menurut Siti Nor Salawati, suspek yang baru dibebaskan daripada hukuman penjara atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya turut didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan dijalankan.

Polis kini menyiasat kes ini di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas perbuatan khianat, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pada malam Selasa, media melaporkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada jam 8.20 malam, sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba Alor Setar dan Jalan Raja, dengan bantuan pasukan bomba sukarela.

Artikel Berkaitan:

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi, tiga rumah telah musnah 80 peratus, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sebanyak 10 peratus.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!