[VIDEO] KPKM, KPDN pantau telur ayam - Fahmi
PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau untuk memastikan bekalan telur ayam terjamin di pasaran.
Ia susulan kawalan harga dan subsidi telur ayam ditamatkan secara berfasa bermula Khamis sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri sebelum ini pernah diingat mengenai konsep subsidi telur yang diwujudkan ketika pandemik Covid-19 bagi mengatasi kekurangan bekalan dan harga melambung.

"Ketika pandemik terdapat masalah dari segi penghasilan dan bekalan telur ayam, (tetapi) kita lihat hari ini ia menunjukkan trend positif.
"Maka Jemaah Menteri berpandangan bahawa apa yang dicadangkan (penamatan subisidi telur ayam) oleh KPKM itu wajar," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Terdahulu KPKM mengumumkan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari 10 sen kepada 5 sen sebiji, berkuat kuasa mulai Khamis sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam sejak Februari 2022 hingga Disember 2024 bagi menampung peningkatan kos pengeluaran akibat pandemik Covid-19 serta krisis geopolitik membabitkan Rusia dan Ukraine.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!