Saya tak boleh 'dibeli', kata Howard

Howard Lee
Howard Lee
A
A
A

IPOH - Saya tak boleh dibeli dan tak akan dibeli, itu pendirian Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How selepas desas-desus ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang akan melompat parti di Perak.

Menurutnya, semua ADUN Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP akan terus bersama sama ada sebagai pembangkang atau kerajaan.

Beliau berkata, sehingga kini tiada pihak menghubunginya untuk melompat parti menyokong Perikatan Nasional di Perak melalui tawaran tertentu.

"Pembangkang anggap saya tak ada nilai buat mereka sebab tak tawarkan apa-apa. Mereka tahu saya tak akan terima sebarang tawaran," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan politik semasa di Perak.

Sementara itu mengenai kedudukan kerajaan Perak, Chuan How berkata, setakat ini tiada sebarang arahan baharu diterima daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, sehingga kini Ahmad Faizal masih tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut tetapi semua exco masih menjalankan tugas masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah yang kekal sebagai negeri PH.

Artikel Berkaitan: