Empat termasuk Datuk Seri ditahan kemuka tuntutan palsu RM360 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri, disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50-an hingga 70-an itu ditahan antara jam 4 hingga 6 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.
“Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion,” katanya pada Rabu.

Sinar Harian difahamkan, perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu telah dikeluarkan terhadap kesemua suspek.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
SPRM mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!